KUALA LUMPUR – Semua stesen transit aliran ringan (LRT) dan sistem transit aliran massa (MRT) bakal menyediakan kemudahan sistem pembayaran secara terbuka tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebanyak 140 stesen akan menyediakan kemudahan tersebut, yang mana pengguna boleh membuat pembayaran tambang menggunakan pelbagai kaedah seperti kad kredit, kad debit, perkhidmatan e-dompet (Touch n Go) dan sebagainya.
Katanya, perancangan itu telahpun bermula tahun ini dan hanya dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun ekoran semua stesen itu perlu dinaiktaraf terlebih dahulu.
“Mengapa ia mengambil masa, sebab ada proses dalaman perlu tender, ia agak complicated (rumit) sebab setiap stesen itu perlu diubah suai…ia bukan mudah untuk dilaksanakan ini dalam masa satu dua bulan.
“…ia mengambil masa hampir setahun untuk semua stesen itu dinaik taraf. Kita ada 140 stesen dan semua stesen itu perlu diintegrasikan sebelum ia boleh dilaksankan.
“Jadi, untuk itu saya telah minta agar tahun ini akan dimulakan proses (menaiktaraf) dan kita harap servis ini dapat kita lancarkan pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengikuti Pembentangan Laporan Prestasi 2023 Perkhidamatan Prasarana di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, sebanyak 10 buah van yang dipanggil mobiliti pantas OKU bakal disediakan di beberapa buah stesen kendalian Prasarana.
Katanya, van itu akan dilengkapi dengan kemudahan untuk OKU dan ia sangat mesra pengguna daripada golongan itu.
Beliau menjelaskan, penyediaan van berkenaan adalah atas permintaan daripada persatuan-persatuan OKU dimana mereka pernah memorandum yang menyatakan perkhidmatan rapid tidak mesra OKU.
“Apa yang penting kita punya respons ialah untuk membantu golongan OKU ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette