PUTRAJAYA – Dua anak serta isteri tokoh konglomerat negara, Tun Daim Zainuddin dijangka akan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.
Isterinya, Isteri Daim, Toh Puan Naimah Khalid dan dua anaknya dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, kata peguam Daim, Rajesh Nagarajan.
Sekumpulan 20 pengamal media dan wartawan sudah berkampung di pekarangan ibu pejabat SPRM sejak jam 9 pagi tadi.
Media arus perdana dan portal itu mula berkumpul setelah dipercayai ketiga-tiga mereka akan tiba di SPRM pukul 10.30 pagi ini.
Malah satu sidang media akan dibuat Rajesh sebelum mereka memasuki pekarangan bangunan SPRM.
Sebelum ini, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan merupakan antara yang disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.
Siasatan ke atas Daim juga dijalankan SPRM susulan pendedahan berhubung kekayaannya dalam Kertas Pandora.
Dalam pendedahan itu, syarikat dan firma pemegang amanah yang dimiliki oleh anak-anak, isteri atau rakan perniagaan Daim bersama-sama memegang aset bernilai sekurang-kurangnya RM141 juta.
Bulan lalu, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di ibu negara, yang dikatakan milik keluarga Daim. – MalaysiaGazette