KAJANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan keanggotaan Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam (PSPA) di seluruh negara akan mencapai 10,000 orang tahun ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Abdul Wahab Rahim berkata, setakat ini, seramai 2,000 anggota PSPA telah dilatih.
“Inisiatif ini adalah dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mereka beri amanah kepada APM. Jadi, tidak timbul isu bagi mereka untuk mendapatkan pelepasan daripada jabatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelepasan pasukan pasca bencana PSPA bagi menghadapi monsun timur laut di Ibu Pejabat APM di sini hari ini.
Seramai 15 anggota PSPA dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Sains dan Teknologi di bawah seliaan 15 pegawai APM menyertai pasukan pasca bencana tersebut.
Mereka akan bertugas di Kota Tinggi, Johor dan Pekan, Pahang mulai esok hingga 13 Januari ini.
Abdul Wahab memberitahu, pada masa ini, anggota-anggota PSPA berkhidmat secara sukarela untuk pasukan pasca bencana.
Menurut beliau, mereka boleh menyertai pasukan respon bencana pada masa akan datang sekiranya berminat.
“Selepas itu, mereka layak menerima segala kemudahan di bawah perkhidmatan sukarelawan APM,” jelasnya.
Abdul Wahab berkata, setiap anggota PSPA perlu menjalani latihan asas penyelamatan seperti rawatan kecemasan dan kelangsungan hidup serta mengendalikan bencana seperti banjir dan kebakaran kecil selama tiga hari. – MalaysiaGazette