KUALA LUMPUR – Bank Rakyat terus komited memacu aktiviti ekonomi digital luar bandar bagi membudayakan gaya hidup tanpa tunai melalui penggunaan perkhidmatan e-perbankan dan e-pembayaran dengan penganjuran program digital desa.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan mentransformasikan ekonomi digital di kawasan luar bandar.
Menurutnya, ia termasuk kepada peniaga untuk menerima dan menyesuaikan aktiviti pendigitalan dalam urusan perniagaan dan kehidupan seharian.
“Program Digital Desa ini diadakan bagi menyediakan penyelesaian kewangan digital yang mampan dan inklusif kepada masyarakat luar bandar termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ini bertujuan untuk mengadaptasikan penggunaan perkhidmatan perbankan dan pembayaran elektronik seperti DuitNow QR dan MyDebit dalam operasi perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan sempena penganjuran Program Digital Desa di Kampung Taginambur, Kota Belud, Sabah.
Tambah Mohammad Hanis, Bank Rakyat turut memperkenalkan tawaran produk perbankan runcit melalui platform Bank Rakyat Quick (BRICK) serta produk perbankan perniagaan melalui platform Quick Response to Entrepreneurs (QR2E) untuk komuniti tersebut.
Program itu turut memanfaatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang yang membuka Akaun Simpanan-i melalui platform BRICK dan para penjaja yang membuka Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) serta mendaftarkan aplikasi i-MerchantRAKYAT.
Menurut beliau, aplikasi i-MerchantRAKYAT yang dilengkapi dengan DuitNow QR itu dilancarkan sebagai kemudahan khusus untuk usahawan PMKS serta koperasi bagi membolehkan penerimaan bayaran melalui kod QR.
Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah sejajar dengan saranan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempercepatkan penggunaan transaksi tanpa tunai yang membawa kepada peningkatan keterangkuman kewangan dalam kalangan masyarakat.
“Aplikasi ini diperkenalkan kepada pelanggan sejak 31 Oktober tahun lepas dan telah mencapai sebanyak 2,000 pendaftaran setakat ini.
“Ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan boleh digunakan di mana-mana sahaja, tetapi mampu meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan dan kewangan agar lebih efisien.
“Bank Rakyat sentiasa meneroka peluang baharu untuk membantu mencapai keperluan dan jangkaan masyarakat di desa menerusi pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang bertepatan dengan nilai kesejahteraan Malaysia Madani untuk bersama-sama menikmati kemakmuran digital selaras dengan keperluan semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette