KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki utama Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting tekad memantapkan permainannya menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Ginting berkata temasya sukan terbesar dunia itu merupakan fokus utamanya tahun ini sehinggakan beliau enggan memikirkan jumlah gelaran yang boleh dimenanginya musim ini.
“Dengan beberapa bulan lagi sebelum Sukan Olimpik, saya mahu terus perbaiki diri. Saya tidak mahu memikirkan dan membebankan diri (dengan jumlah gelaran).
“Seharusnya memang ada impian juara (kejohanan disertai), namun saya harap menjelang Sukan Olimpik ini saya lebih mantap, terus buat penilaian diri, menajamkan kelebihan dan perbaiki kekurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menumpaskan Su Li Yang dari Taiwan, 21-18, 21-12 pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena semalam.
Pemain pilihan keempat itu akan membuat perhitungan dengan wakil China, Lu Guang Zu pada Khamis ini.
Guang Zu bangkit daripada ketinggalan untuk mara ke pusingan kedua dengan mengecewakan pemain profesional negara, Lee Zii Jia, 16-21, 21-19, 21-15.
Dalam pada itu, pemain nombor empat dunia itu juga berharap dapat tersenarai antara pemain pilihan dalam Sukan Olimpik nanti.
Berdasarkan ranking kelayakan Race to Paris, Ginting kini menghuni tangga keenam dengan 71,891 mata.
Tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 yang bermula Mei lepas akan berakhir April ini.
Mengikut format kelayakan, setiap negara boleh diwakili maksimum dua pemain perseorangan sekiranya kedua-dua mereka menduduki ranking 16 terbaik serta dua beregu sekiranya kedua-dua mereka menduduki ranking lapan terbaik.
Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini. – BERNAMA