Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Kerajaan khususnya Pejabat Perdana Menteri perlu menghentikan sebarang bentuk intimidasi dan tekanan terhadap pembangkang, kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau merujuk laporan polis dibuat Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin agar siasatan dijalankan terhadap pembangkang di bawah Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Laporan polis itu adalah berhubung dakwaan terdapat ‘Langkah Dubai’ yang didakwa rekaan oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, Langkah Dubai direka demi menutup kelemahan urus tadbir ekonomi dan kos sara hidup yang kian meningkat oleh pentadbiran kerajaan yang gagal hari ini.

“Adakah Malaysia sudah menjadi negara polis di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga perkara begini boleh dilapor kepada polis dan dijadikan naratif untuk memberikan tekanan kepada pihak pembangkang?

“Pentadbiran hari ini sepatutnya fokus kepada tugasnya untuk membaik pulih ekonomi dan bukan dengan berfantasi serta mencipta pelbagai kisah dongeng demi mengalih pandangan rakyat daripada kegagalan menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya yang lalu.

“Perdana Menteri telah berulang kali menyatakan kerajaannya masih mempunyai majoriti melebihi dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

“Malah, turut didakwa terdapat lapan lagi Ahli Parlimen pembangkang yang akan beralih sokongan kepada Perdana Menteri pada hujung Februari ini.

“Bagaimana pula kerajaan yang lebih sokongan 2/3 ini boleh tumbang?,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, tindak tanduk kerajaan hari ini seolah-olah menunjukkan bahawa perkara sebaliknya sedang berlaku.

Katanya, ia seakan-akan mereka sendiri sudah tidak yakin dengan majoriti dimiliki, justeru terpaksa melakukan pelbagai aksi aneh seperti igauan ‘Langkah Dubai’ yang jelas tidak wujud dan laporan polis terhadap pihak pembangkang atas pelbagai tuduhan rekaan.

“Mengapa Pejabat Perdana Menteri sangat bimbang dan goyang?

“Buatlah kerja untuk rakyat, selesaikan masalah mereka bukan sibuk mencipta persepsi karut-marut,” ujarnya. – MalaysiaGazette