KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyeru semua pihak menjauhi perbuatan memanipulasi isu agama dan perkauman demi kepentingan peribadi atau politik.
Menurut kenyataan MUDA, negara dengan amalan politik baharu yang matang perlu diamalkan secara sihat, sekali gus mengelakkan keganasan berlaku.
“Politik baharu yang kami galakkan adalah untuk kebaikan bersama dan tanpa ruang untuk keganasan atau kezaliman.
“MUDA meraikan politik baharu yang sihat, di mana nilai-nilai keadilan, kebenaran, dan perpaduan menjadi tonggak,” kata parti itu.
Terdahulu MUDA mengecam tindakan ganas serangan menggunakan bahan letupan di kediaman Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pagi tadi yang mengakibatkan kebakaran.
Kebakaran mengakibatkan sebuah kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus, manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.
Parti tersebut berkata, pihak polis perlu segera mengheret individu yang bertanggungjawab melakukan jenayah itu dan memastikan insiden tersebut tidak berulang.
“MUDA dengan tegas mengecam insiden kebakaran yang dilaporkan berlaku di kediaman Ahli Parlimen Beruas, YB Ngeh Koo Ham.
“Kami menegaskan bahawa tindakan ganas seperti ini tidak boleh dibiarkan dan menjadi kebiasaan dalam masyarakat demokratik kita,” kata parti itu.
Ujar MUDA, serangan secara peribadi sepatutnya tidak berlaku sekalipun melibatkan musuh politik.
“Kami menekankan bahawa kami tidak membenarkan sebarang serangan peribadi terhadap sesiapa pun, termasuk musuh politik,” tambahnya. – MalaysiaGazette