Isteri Tun Daim, Toh Puan Naimah Khalid bercakap kepada media sebelum memasuki Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 10 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – ‘Sungguh pun Perdana Menteri tidak menyukai Daim tetapi beliau seharusnya menghormati prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan salah oleh mahkamah.”

Itu kenyataan isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid selepas dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pagi ini.

Jelas Nai’mah, langkah memanggilnya dan anak-anaknya, Mohammed Amin dan Mohammed Amir membuktikan suaminya dianiaya.

“Sebagai sebuah negara yang bebas dan mengamalkan demokrasi tidak menjadi kesalahan untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan industri sehingga mengecap kekayaan.

“Malah ia menguntungkan negara melalui pembangunan membina ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Namun begitu, suami saya dianiayai disebabkan kejayaan itu. Kejayaannya kini dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah,” katanya dalam sidang media di perkarangan ibu pejabat SPRM di sini pagi ini.

Nai’mah tiba pukul 10.05 pagi bersama dua anaknya itu serta ditemani peguamnya, Rajesh Nagarajan.

Nai’mah dalam sidang media sama turut menegaskan, Daim merupakan seorang ahli perniagaan yang  berjaya sebelum menyertai Kabinet semasa pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

Malah, katanya, media secara meluas merujuk Daim sebagai hartawan dan jutawan.

“Kini sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa beliau seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya.

“la sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal malah tiada ahli perniagaan yang berjaya di negara ini akan telepas daripada tuduhan sedemikian. Di lapangan awam, dakwaan seperti ini tidak mudah hilang begitu sahaja,” katanya lagi.

Nai’mah dan dua anaknya dipanggil SPRM bagi merakamkan keterangan bagi membantu siasatan rasuah.

Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak, isteri Tun Daim dijangka hadir SPRM pagi ini

1 Komen

  1. Wahhh masa DS Najib masih dlm proses mahkamah, tak de plak ko nak cakap seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah yer ..Dgn laki ko, dgn Mahathir bukan main galak lg pusing satu Malaya tuduh Najib mcm2

Comments are closed.