ALOR GAJAH – Dari luar ia adalah pusat pelancongan terkenal namun siapa sangka wujud sebuah ‘perkampungan’ warga asing didiami ratusan warga Bangladesh.
Malah kawasan itu lengkap dengan kedai runcit haram menjual pelbagai barangan kawalan bersubsidi.
Kegiatan yang dipercayai wujud sejak lebih lima tahun lalu itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka selepas mendapat aduan daripada pengguna media sosial dua minggu lalu.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, hasil risikan dan intipan pasukannya mendapati kedai runcit yang dijaga lelaki Bangladesh itu menjual beberapa barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung gandum dan gas tong petroleum cecair (LPG).
“Hasil semakan mendapati premis dalam ‘perkampungan’ ini tidak mempunyai sebarang lesen sama ada dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mahu pun KPDN.
“Sehubungan itu, semua barangan ini dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di lokasi serbuan di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Norena berkata, siasatan awal dengan penjaga kedai runcit berkenaan berusia 36 tahun mengaku sudah bekerja di pusat pelancongan itu lebih lima tahun lalu.
“Lelaki berkenaan turut mengaku memperoleh bekalan barang kawalan itu ke premis berkenaan menggunakan perkhidmatan e-hailing.
“Harga yang dijual pula lebih mahal iaitu RM5 bagi satu peket minyak masak satu kilogram (kg) berbanding harga subsidi RM2.50 dan tepung gandum RM3.50 sedangkan harga kawalan satu kg adalah RM2.85,” katanya.
Mengulas lanjut, Norena berkata, semakan mendapati pembekal barang kawalan itu adalah dari luar Melaka dan dijual kepada pekerja warga asing yang tinggal di rumah kongsi berkenaan
“Mereka tidak sepatutnya melakukan kegiatan tidak bermoral sebegini kerana akan menjejaskan stok bekalan kita yang sememangnya mencukupi untuk keperluan kedai runcit berlesen di negeri ini.
“KPDN Melaka tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen pemborong di negeri ini sekiranya kita menemui bukti penglibatan mereka dalam aktiviti haram sebegini termasuk menyerbu lebih banyak lokasi sebegini,” tegasnya.
Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati laluan tanah merah masuk ke kawasan rumah kongsi itu terletak di kawasan semak samun menyukarkan ia dikesan pihak berkuasa.
Kawasan ‘perkampungan’ itu dilengkapi dua blok kayu rumah kongsi dianggarkan lebih 40 pintu yang didiami kira-kira 100 warga Bangladesh.
Pemerhatian mendapati, ia dilengkapi bekalan air dan elektrik selain terdapat kawasan ternakan ayam dan itik dipercayai untuk dijadikan makanan kepada pekerja asing berkenaan.
Sepanjang operasi serbuan bermula 6 petang hingga 8 malam beberapa pekerja asing turut dilihat berjalan kaki ke kedai runcit berkenaan untuk membeli bekalan. – MalaysiaGazette