KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan mengenai sebarang isu agama walaupun ucapannya mengenai kisah Ashabul Kahfi baru-baru ini mencetuskan kritikan sesetengah pihak.
Yadim memuji tindakan Perdana Menteri yang akan terus menggunakan petikan ayat al-Quran dan tafsiran dalam ucapannya, namun akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu untuk mengelak sebarang kontroversi.
Menurut satu kenyataan, tindakan tersebut menunjukkan Anwar sentiasa peka dengan tahap sensitiviti dan berusaha untuk mengelakkan sebarang kritikan dalam kalangan masyarakat.
“Seorang pendakwah dalam ceramahnya mendakwa kenyataan Perdana Menteri sebagai sesat apabila merujuk kepada Ashabul Kahfi (pemuda-pemuda gua) sebagai beragama Kristian.
“Perdana Menteri dalam ucapannya semasa Perhimpunan Jabatan Perdana Menteri tidak bermaksud mempertahankan pendiriannya terkait dengan isu Ashabul Kahfi baru-baru ini.
“Sebaliknya, beliau mengaitkan kisah berkenaan pada ketika itu bertujuan menyeru penjawat awam agar sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak ketika menjalankan tugas,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Yadim menggesa orang ramai mengambil tauladan agar sentiasa berhati-hati ketika membuat ulasan, khususnya apabila menafsirkan ayat al-Quran dan Hadis Nabawi. – MalaysiaGazette