Gambar dari FB Koo Ham

KUALA LUMPUR – DAP mengesahkan rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham diserang individu tidak bertanggungjawab di Perak hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke  berkata, kereta Koo Ham juga terbakar selepas diserang dengan molotov cocktail.

“Pihak bomba sempat memadamkan api dan mengelak kebakaran tersebut merebak ke dalam bangunan kediamannya.

“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas ini yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau dan menegaskan apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anthony berkata, satu laporan polis telah dibuat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

“DAP juga menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri dan PDRM supaya mengambil perhatian serius dalam kejadian ini dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga,” kata Anthony lagi.

Awal pagi tadi, kediaman dan tiga kereta milik Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar terbabit kebakaran.

Koo Ham menerusi Facebook pagi ini berkata, kebakaran dapat dibendung dan tiada mangsa dilaporkan cedera.

Beliau turut memaklumkan akan mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Ayer Tawar berkenaan insiden terbabit pukul 12.30 tengahari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.05 pagi tadi.

Koo Ham sebelum ini mencadangkan pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Beliau bagaimanapun memohon maaf dan menarik semula cadangannya itu selepas dikritik pelbagai pihak. – MalaysiaGazette