ikhwan
Setiausaha Sulit Ketua Pembangkang, Ahmad Ikhwan Fadhli selaku wakil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menunjukkan laporan polis terhadap artikel bertajuk 'PN Cuba Merasuah YDPA' di luar pekarangan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 10 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa menyiasat mereka yang memfitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam usaha menumbangkan kerajaan.

Setiausaha Sulit Ketua Pembangkang, Ahmad Ikhwan Fadhli berkata, artikel yang melaporkan fitnah tersebut masih disiarkan dalam beberapa laman blog dan platform X sejak kelmarin.

Beliau kesal kerana kerajaan dikatakan tidak menunjukkan kesungguhan dalam menyekat fitnah yang membabitkan YDPA

“Adakah laporan polis dibuat untuk menyiasat orang yang membuat laporan tersebut? Tiada apa-apa.

“Di manakah Menteri Komunikasi, Menteri Digital, Menteri Undang-undang? Sedangkan mereka bercakap tentang isu 3R (agama, kaum dan raja),” katanya.

Ahmad Ikhwan berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan berhubung fitnah terhadap YDPA dan Hamzah di Balai Polis Jalan Dang Wangi, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial dakwaan bahawa Hamzah menjadi dalang di sebalik cubaan rasuah RM1 bilion kepada YDPA.

Ahmad Ikhwan berharap agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk menjejak individu yang menulis artikel tersebut serta mereka yang memuat naik dan menyebarkannya.

“Kita menyedari fitnah terhadap PN mula berlegar pada akhir tahun lalu bermula dengan dakwaan Langkah Dubai,” jelasnya.

Beliau menambah, pihaknya akan berbincang dengan peguam berhubung tindakan susulan selepas laporan polis dibuat. – MalaysiaGazette