Antara jam tangan berjenama mewah yang berjaya dirampas oleh pihak polis dalam satu sindiket pecah rumah melibatkan warga Amerika Latin dengan nilai kerugian sebanyak RM 1,918,000 ketika di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2024.

SHAH ALAM –  Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian D4 berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah yang aktif di Johor dan Selangor sejak Oktober tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sindiket tersebut didalangi oleh enam suspek termasuk dua warga Colombia.

Katanya, tangkapan yang dibuat sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dibuat susulan laporan kehilangan sebuah kereta jenis Perodua Bezza di Kulai, Johor baru-baru ini.

“Sindiket melibatkan suspek warga Amerika Latin dengan tangkapan terhadap dua warga Colombia, seorang perempuan bangsa Serani, dua lelaki dan perempuan masing-masing berbangsa Cina dan seorang lagi lelaki Melayu.

“Dua suspek warga Colombia ditangkap masing-masing di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dipercayai ingin meninggalkan negara.

“Semua suspek berusia di antara 45 hingga 62 tahun,” katanya ketika sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurut beliau, tangkapan tersebut sekaligus menyelesaikan 19 kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini di kedua-dua negeri melibatkan kerugian sebanyak RM1.9 juta.

“Sebanyak 10 kes di Selangor dan sembilan kes di Johor,” tambahnya.

Mengulas lanjut Suhaily berkata, sindiket berkenaan menyamar sebagai penghantar barangan di kawasan perumahan mewah sebelum memecah masuk.

“Mereka menyamar dan pecah masuk rumah yang didapati tidak berpenghuni. Dua warga Colombia akan memecah masuk rumah. Wanita bangsa Serani tersebut boleh dikatakan sebagai mastermind kerana akan menyerahkan barangan curi kepada anggota lain untuk dijual,” katanya lagi.

Menurut beliau, turut dirampas tiga buah kereta dan sebuah kenderaan Perodua Bezza yang dilaporkan hilang sebelum ini dan digunakan sindiket untuk melakukan jenayah pecah rumah.

“Polis berjaya merampas 64 utas jam tangan berjenama, lapan beg pakaian berjenama, tujuh keping pasport pelbagai negara, 79 barang kemas dan 29 batu kristal.

“Juga dirampas 146 keping wang mata asing berjumlah RM1,821, lapan kad lesen memandu luar negara milik suspek Colombia serta peralatan pecah rumah,” ujarnya.

Jelasnya semua suspek direman sehingga 10 Januari ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan dihukum penjara selama lima tahun dan didenda,” tambah beliau. – MalaysiaGazette