MELAKA – Seorang warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan membunuh majikannya dalam ladang kelapa sawit bulan lalu.
Tertuduh, Rudiansyah, 25, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Indonesia di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian Nordin Ong Abdullah, 71, antara pukul 10.30 pagi 22 Disember hingga 1.20 pagi 27 Disember 2023.
Perbuatan itu dilakukan di rumah kebun ladang lelapa sawit, Lorong Sidang Hj Hamid, Paya Rumput Jaya, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula 19 Februari ini untuk penyerahan laporan kimia dan bedah siasat selain tiada jaminan dibenarkan.
MalaysiaGazette pada 1 Januari lalu melaporkan, seorang lelaki warga Indonesia diberkas polis selepas membunuh majikannya yang juga seorang mualaf di sebuah pondok kebun kelapa sawit di Sungai Udang di sini pada 22 Disember lalu.
Suspek ditahan polis di sebuah asrama pekerja rakannya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor kira-kira 4 pagi 30 Disember lalu – 48 jam selepas menerima aduan kejadian pada 27 Disember.
Hasil soal siasat pekerja ladang itu mengaku memukul kepala si mati yang juga seorang mualaf dengan tukul besi kerana tidak tahan selalu dimarahi majikannya itu kira-kira pukul 12 tengah hari 22 Disember lalu.
Suspek kemudian mengheret si mati ke dalam bilik dan mengambil dompet, telefon bimbit dan melarikan kereta mangsa sehingga ke Rembau, Negeri Sembilan sebelum meninggalkannya di tepi jalan kerana kehabisan minyak.
Dia kemudian menaiki e-hailing menuju ke Tampin dan membeli tiket bas menuju ke asrama pekerja rakannya di Pelabuhan Klang. – MalaysiaGazette