KUALA LUMPUR – Kolej Meatech bersama rakan strategik YEG Academy Sdn Bhd dan Awesome Nomad Sdn Bhd hari ini menjalin kerjasama dalam bidang pengajian industri penerbangan dan pelancongan yang berasaskan pembelajaran terus kerja (WBL) dalam peringkat diploma.

Ketua Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi, berkata, program pengajian yang ditawarkan mempunyai potensi kepada permintaan tinggi di pasaran dengan memberi penekanan kepada laluan kerjaya bagi para pelajar.

“Bidang pengajian peringkat diploma yang ditawarkan dan berasaskan WBL sudah pasti memberi jaminan kerjaya bagi pelajar dan permintaan industri yang tinggi juga merupakan salah satu faktor pada masa kini.

“Bermula dari YEG Academy ini diasaskan, seramai 87 peratus graduan telah dilahirkan dan hampir keseluruhan terus dipanggil bekerja mengikut kemahiran yang terlatih,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Sekolah Hospitaliti Penerbangan, Kolej Meatech, Che Rozaina Azizan berkata, konsep WBL merupakan suatu revolusi pendidikan tinggi yang mampu mengintegrasikan pembelajaran  universiti dengan pembelajaran di industri selain mewujudkan pengalaman bersepadu kepada pelajar iaitu teori dan praktikal.

“Kita menyahut saranan Perdana Menteri yang ingin meningkatkan pembelajaran TVET terutama kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan data menunjukkan 72 peratus pelajar selepas tamat persekolahan tidak berminat menyambung pelajaran, jadi usaha ini dilihat sebagai salah satu cara bagi menanam minat kepada mereka untuk belajar peringkat lebih tinggi.

“Pihak industri malah berpeluang membawa semangat dan idea baharu kepada organisasi  selain mempunyai cara baik mengenal pasti bakal rekrut yang akan membawa penyelesaian kos efektif pengambilan pekerja dan mengurangkan latihan masa depan” jelasnya.

Che Rozaina juga mengalu-alukan lebih banyak lagi industri bekerjasama dengan pihak akademik bagi memastikan kurikulumnya relevan dengan keperluan industri.

Kerjasama dengan pihak YEG Academy di bawah payung Aviation Career Malaysia menawarkan dua program unik iaitu diploma berkaitan penerbangan selama dua setengah hingga tiga tahun dan program persediaan yang berfokus selama tiga bulan.

Antara bidang yang ditawarkan termasuklah Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Kargo Udara dan Diploma Pengurusan Operasi Lapangan Terbang. Bagi program persediaan pula terdiri daripada kru kabin, khidmat pelanggan dan ejen ramp.

Dalam masa sama, Kolej Meatech dan YEG Academy juga turut bekerjasama dengan Awesome Nomad menawarkan program pengajian peringkat diploma dalam jurusan pengurusan pelancongan melibatkan kolaborasi dalam WBL.

Perunding Utama Awesome Nomad Sdn. Bhd, Dr. Irwan Dahnil berkata, program itu menawarkan tempoh pengajian selama satu tahun setengah di dalam kelas dan selama setahun mereka akan ditempatkan dalam industri berkaitan.

Setiap graduan bidang pelancongan akan dilatih dengan silibus pengajian tepat lebih-lebih lagi dalam menghadapi situasi apabila pelancong kehilangan pasport di luar negara dan pelancong yang mengalami gangguan kesihatan malah kematian semasa melancong.

“Pelajar program jurusan pengurusan pelancongan secara WBL akan dihantar ke luar negara pada semester akhir selama tiga bulan untuk latihan.

“Menerusi syarikat, kami menyediakan khidmat pengurusan pelancongan untuk kembara ke luar negara sebagai ketua kembara atau tour leader membawa pelancong dari Malaysia melawat negara-negara terkenal khususnya di benua Eropah.

“Program pembelajaran berasaskan pekerjaan atau WBL ini akan memberi pendedahan industri kepada pelajar di sepanjang pengajian mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast