KUALA LUMPUR – Pasaran minyak sawit dijangka mengekalkan prospek optimis untuk 2024, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, keyakinan yang positif itu didorong oleh jangkaan permintaan minyak sawit yang kukuh dari destinasi eksport utama, seperti India, China dan Kesatuan Eropah (EU).
Menurutnya, permintaan itu terus disokong oleh minat untuk menambah stok bagi memastikan keselamatan makanan dan daya maju keseluruhan aktiviti perniagaan, menjadikan 2024 kelihatan sangat menggalakkan.
“Kerajaan komited untuk memastikan pengurusan pekerja asing secara cekap yang akan menangani situasi tenaga kerja kritikal dalam sektor perladangan.
“Kerajaan mencadangkan untuk memperluaskan skop insentif cukai automasi merangkumi sektor perladangan bagi mengurangkan pergantungan tenaga kerja melalui mekanisasi dan automasi.
“Ini adalah peluang berharga bagi penanam kelapa sawit untuk melabur semula keuntungan mereka ke dalam teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan menyokong pekerja, terutamanya dalam penuaian dan pengumpulan buah tandan segar (FFB).
“Peralihan ke arah automasi dan mekanisasi kini menjadi satu keperluan memandangkan pergantungan yang tinggi kepada pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Kajian dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2024 (R&O Seminar 2024) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Mengulas lanjut, Johari memberitahu, pihaknya akan meneliti isu levi keuntungan luar biasa kelapa sawit yang dibangkitkan pemain industri secara terperinci sebelum memutuskan sebarang pelarasan.
Ujarnya, pada masa ini, levi yang dikenakan adalah tiga peratus ke atas harga minyak sawit yang melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung serta pada kadar tiga peratus ke atas harga minyak sawit melebihi RM3,500 satu di Sabah dan Sarawak.
“Pemain industri telah membangkitkan isu berkenaan memandangkan kos yang semakin meningkat dihadapi mereka.
“Kos kini dilihat meningkat ke paras RM2,800 satu tan hingga RM3,000 satu tan malah lebih tinggi membabitkan kawasan tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette