PEKAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau keadaan semasa Jalan Kuantan-Segamat (Lebuh Raya Tun Razak) yang mendap sejak 6 Januari lalu.
Keberangkatan baginda ke lokasi tersebut turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Alam Shah dan dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Baginda berkenan meluangkan masa kira-kira 30 minit di lokasi kejadian dan mendengar taklimat berkaitan kejadian mendapan tersebut serta proses pembaikannya oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Datuk Ir. Ts. Hafizah Zakaria.
Hafizah ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya kini dalam proses pembinaan jambatan bailey dua hala sepanjang 30 meter sebagai penyelesaian jangka pendek di jalan tersebut.
“Kejadian mendapan berlaku pada 6 Januari pukul 11.30 malam. Langkah pertama yang JKR ambil adalah untuk menyediakan laluan sementara dan penutupan jalan sebagaimana yang kita lihat, sebab jalan sangat membahayakan kepada pengguna jalan raya.
“Jambatan bailey ini telah sampai ke tapak pada hari ini yang mana kerja-kerja pembinaan telah bermula dan secara 24 jam. Insya-Allah akan disiapkan dalam masa tujuh hari bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Sebagai penyelesaian jangka panjang pula, Hafizah berkata, pihak JKR negeri akan memohon peruntukan yang membabitkan anggaran RM17 juta daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi tujuan pembinaan jambatan kekal di situ.
Beliau berkata, pembinaan jambatan kekal itu pula dianggarkan dapat siap dibina dalam jangka masa tiga tahun mengambil kira kelulusan reka bentuk.
Dalam pada itu, Hafizah turut mengingatkan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan itu yang had muatan kenderaan yang boleh ditampung jambatan berkenaan nanti adalah sehingga 20 tan sahaja.
Mengulas mengenai punca utama kejadian mendapan jalan itu pula, beliau memberitahu, ia berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi yang menyebabkan Sungai Temiang berhampiran kawasan itu menyimpan air terlalu banyak.
“Ia menyebabkan berlakunya kerosakan kepada jalan dan keadaan ini sentiasa berlaku apabila tiba musim Monsun Timur Laut (MTL) sebab kadar air tinggi dan aliran air sangat laju menghakis jalan sekali gus menyebabkan berlakunya mendapan melibatkan keseluruhan rentangan jalan,” ulasnya. – MalaysiaGazette