Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (duduk, tengah) selepas lawatan ke Wisma Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pihak yang membuat dakwaan kira-kira 500,000 pekerja asing dalam negara ini menganggur  supaya membuat laporan rasmi beserta bukti untuk tindakan lanjut.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya terbuka menerima apa juga pandangan dan aduan jika ia dibuat berasaskan bukti yang kukuh.

“Kita sentiasa bersifat terbuka apa yang terjadi. Kalau ada bukti dan fakta saya minta pihak berkenaan buat laporan secara rasmi supaya kita boleh mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.

Turut hadir, presidennya, Datuk Dr Adnan Mat.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) berkata meskipun pekerja asing masuk secara sah ke dalam negeri namun  mereka hanya dibenarkan bekerja di lima sektor.

Pertubuhan berkenaan berkata, situasi itu mengakibatkan yang masuk ke negara tanpa berjaya mendapatkan pekerjaan seterusnya menyumbang kepada kebanjiran pekerja asing.

Dalam masa yang sama, Steven berkata,  KSM dalam pertemuan  bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan bermesyuarat minggu depan berperanan sebagai mengawal atau menguruskan perangkaan bilangan pekerja asing yang dibenarkan di negara kita selain aspek isu tempat tinggal dan hak golongan berkenaan.

Tambahnya, kedua-dua kementerian itu akan meneliti dasar melibatkan pekerja asing yang perlu diselaraskan.

“Komitmen kita adalah untuk membuat keputusan secepat mungkin tentang penyelarasan dasar dan keputusan isu pekerja asing di Malaysia.

“Dalam mesyuarat itu juga akan dibincangkan kalau ada perkara yang perlu  ditambah baik dasar-dasar yang perlu diselaraskan di kedua-dua kementerian,” jelasnya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan akan bermesyuarat dengan KSM pada Selasa depan bagi menambah baik aspek pengurusan pekerja asing di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast