KUALA LUMPUR – Pas percaya perbezaan pandangan dan kepercayaan tidak mewajarkan apa-apa juga tindakan yang melampaui batas undang-undang serta akhlak terutamanya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan harta benda.
Timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas menyambut baik tindakan segera yang diambil oleh pihak berkuasa dalam mengawal keadaan ekoran insiden kebakaran di rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
Menurut beliau, Pas juga menyambut baik tindakan polis menjalankan siasatan pantas bagi mengenal pasti dan menangkap pihak-pihak yang terbabit dalam kejadian tersebut.
“Justeru, semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-perbezaan itu dengan segera, adil dan bijaksana,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Semalam, tiga buah kereta milik Koo Ham musnah dalam kebakaran di rumahnya di Ayer Tawar, Perak.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu mengesyaki perbuatan khianat itu adalah berpunca daripada kenyataan yang dibuatnya pada 28 Disember lalu.
Dalam kenyataan itu, beliau mencadangkan pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Beliau telah memohon maaf dan menarik semula cadangannya itu selepas dikecam pelbagai pihak. – MalaysiaGazette