HULU SELANGOR – Seorang guru ditahan sebelum sempat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah selepas didapati melakukan amang seksual terhadap tiga pelajar lelaki, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, guru tersebut ditahan di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada Rabu.

Beliau berkata, perbuatan terkutuk itu dilakukan guru berusia 26 tahun di sebuah maahad tahfiz di Batang Kali, di sini, sejak dua tahun lalu.

“Seramai tiga pelajar lelaki berusia antara lapan hingga 11 tahun menjadi mangsa gangguan suspek sejak dua tahun lalu.

“Lelaki itu diberkas sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, jam 10.45 malam,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Tambahnya, penahanan guru agama itu dibuat berdasarkan hasil risikan dan maklumat polis.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Semua mangsa yang terlibat adalah pelajar suspek sendiri di maahad tahfiz berkenaan,” katanya.

Menurutnya, suspek dibawa ke IPD Hulu Selangor untuk ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast