Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Mohammad Ubaidillah Enam@Iman

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap syarikat kawalan keselamatan yang menggunakan pengawal warga asing secara haram.

Presidennya, Mohammad Ubaidillah Enam@Iman berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa memastikan hanya pengawal keselamatan yang diluluskan oleh KDN sahaja diambil bekerja.

“Pengawal keselamatan yang dibenarkan bekerja adalah terdiri daripada warganegara Malaysia dan Nepal yang mempunyai permit untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia.

“Ada segelintir syarikat kawalan keselamatan yang sengaja menggunakan pengawal keselamatan warga asing haram demi meraih keuntungan tanpa menghiraukan undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN dan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 10 warga asing dari India, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka yang tiada permit di sekitar Lembah Klang.

Kesemua warga asing yang ditangkap tidak memiliki permit bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Beliau juga berkata, tindakan syarikat-syarikat yang menyediakan pengawal keselamatan warga asing haram akan membahayakan nyawa masyarakat kerana mereka tidak mempunyai tapisan keselamatan dan tidak berdaftar dengan KDN.

“Semua pihak perlu menggunakan syarikat kawalan keselamatan yang berlesen dengan KDN dan mempunyai pengawal keselamatan yang memiliki permit,” katanya.

Katanya lagi, KDN perlu mengambil tindakan undang-undang dan membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan yang menggajikan warga asing tanpa permit di bawah peruntukan perundangan sedia ada.

“Menurut rekod keahlian PIKM terdapat sebanyak 1,085 syarikat kawalan keselamatan dan sebanyak 99 syarikat telah dibatalkan oleh KDN dari 2014 sehingga kini.

“PIKM berharap KDN terus mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang melakukan kesalahan termasuklah pihak yang menggunakan pengawal keselamatan warga asing secara haram,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Apa susah… bukak syarikat baru, org yg sama, tak pun sepupu sepapat diorang jugak. Untung bukak sykt guard ni, dulu 300 syarikat je, skrg dah 800 lebih. boleh buat silap mata gaji, silap mata pinjaman, pinjaman harian, epf, socso. Isap rokok sebatang RM 100. Tidur rm 500. Malaysia undang2 ada, penguatkuasaan x de.

  2. Jangan pandai cakap saja kena lakukan pemeriksaan la iye..cakap semua boleh cakap masalah nak laksanakan tu yang bermasalah.Tengok di Mall besar pun cukup la semua warga asing kerja bukan orang tempatan atau orang Malaysia yang kerja.

Comments are closed.