Gambar hiasan

PEKAN – “Tak nak dah. Cukuplah sekali”, kata seorang mangsa banjir di Felda Chini Timur 3, dekat sini, Razemi Embong, 64 yang pertama kali melalui pengalaman tidak dapat dilupakan itu.

Menurutnya, sejak tanah rancangan itu mula dibuka, kejadian banjir pada 6 Januari lalu adalah yang terburuk pernah berlaku di situ.

“Selama ini kita tengok orang lain berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Tidak sangka pula banjir tahun ini, saya pula terpaksa melaluinya.

“Memandangkan saya tidak boleh tidur di atas lantai, jadi mereka menyediakan kerusi malas untuk saya,” katanya.

Razemi Embong

Dia yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) terpaksa dipindahkan ke PPS Dewan Semai Bakti Chini Timur 3 sejak 7 Januari bersama lima ahli keluarga yang menetap di kediaman sama.

Namun, pengalaman berteduh di PPS baginya tidak sama seperti individu lain kerana Razemi menggunakan kerusi roda untuk bergerak berikutan patah peha selepas terjatuh di dapur rumahnya pada Disember 2022.

“Memang tak selesa lah, sakit badan lagi,” katanya sambil tertawa kecil.

Disebabkan keadaannya itulah, anaknya, Nurul Fatiha Mohd Yusom, 32, membuat keputusan pantas menguruskan pemindahan ibunya dahulu ke PPS dengan meminta bantuan kenderaan pacuan empat roda pihak pengurusan Felda setelah mendapati air mula naik di kawasan rumah mereka.

“Rumah kami sebenarnya terletak di penghujung saliran air, jadi memang kami sudah biasa melihat air yang membanjiri di sekitar rumah.

“Tapi, pada hari kejadian iaitu pada sekitar 8 malam 6 Januari itu, kami lihat hujan bertambah lebat dan air semakin naik.

“Keesokannya, saya tengok rumah kami sudah macam pulau. Memang air selalu naik, tapi tidak setinggi itu,”kata Nurul Fatiha yang mempunyai bayi berusia sembilan bulan itu.

Nurul Fatiha Mohd Yusom

Dia bagaimanapun bersyukur kerana air banjir tidak melimpah ke dalam rumah kerana struktur yang dibina agak tinggi berbanding rumah-rumah lain yang berhampiran.

Difahamkan, PPS Dewan Semai Bakti Chini Timur 3 telah ditutup petang semalam selain 14 PPS lain bagi daerah Rompin dan Pekan dengan kesemua mangsa yang berteduh di situ dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, sehingga jam 8.00 pagi tadi, hanya sembilan PPS yang masih dibuka di negeri ini.

Ia membabitkan lima di Rompin yang menempatkan 191 mangsa daripada 62 keluarga, tiga di Pekan yang menempatkan 564 mangsa daripada 161 keluarga dan satu PPS di Maran dengan 25 mangsa daripada lapan keluarga.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang pula memaklumkan paras air hampir di semua sungai utama menunjukkan trend menurun dan bertahan kecuali di Kuala Chini, Pekan serta Pasir Kemudi dan Kuantan Bypass di Kuantan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast