CEO Maritime Network, Datuk Seri R Jeyenderan mohon campur tangan Kementerian Pengangkutan bagi selesaikan isu berkaitan Pelabuhan Klang Selatan.

KUALA LUMPUR – Banyak isu berbangkit termasuklah berkaitan prosedur dan penambahbaikan kemudahan Pelabuhan Klang Selatan ketika ini memerlukan campur tangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Malah sudah tiba masa menteri itu tampil mengadakan sesi libat urus dengan semua pemain industri untuk menyelesaikan masalah kemudahan di pelabuhan supaya industri itu tidak mengalami kerugian.

Isu itu dibangkitkan oleh ejen perkapalan, Datuk Seri R. Jeyenderan yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, akibat prosedur dan kekurangan fasiliti di Pelabuhan Klang, negara boleh kerugian RM300,000 sebulan kerana tidak ada kapal lagi berlabuh di pelabuhan tersebut.

“Ini juga menyebabkan syarikat kapal memilih untuk berlabuh di pelabuhan pesaing menyebabkan negara rugi ratusan ribu ringgit setiap bulan. Saya sudah berkali-kali buat aduan, berbincang dengan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) namun hingga kini tidak ada penyelesaian. 

“Jika saya bersuara atau mengadu mahu pun cuba memberikan sebarang cadangan penambahbaikan, syarikat kami akan didakwa cuba pertikai peraturan keselamatan pelabuhan.

“Sebelum ini saya pernah meminta LPK tambah baik prosedur sedia ada terutamanya melibatkan saiz kapal yang dibenarkan berlabuh, waktu berlabuh yang hanya dibenarkan antara 8 pagi hingga 5 petang sahaja ,” katanya kepada media hari ini.

Jeyenderan berkata, pihaknya tidak mendapat maklum balas positif dari LPK tetapi syarikatnya pula didakwa mengabaikan aspek keselamatan.

“Saya bersuara untuk semua pihak terutamanya pihak industri, kita bukan bercakap soal keuntungan semata-mata sebaliknya isu berkaitan pendapatan negara. Saya telah hantar e-mel kepada LPK pada Oktober tahun lepas.

“E mel berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat di Pelabuhan Klang meminta LPK mengeluarkan jadual selama tiga bulan waktu terbaik untuk berlabuh. Tapi selepas kami tunggu lebih empat, LPK masih tidak beri sebarang maklum balas.

“Antara alasan yang diterima secara lisan oleh petugas di LPK termasuk tiada lampu sorot di Pelabuhan Selatan untuk kerja-kerja berlabuh waktu malam,” ujarnya.

Tambah Jeyenderan, kedalaman di Labuhan Kurap, Klang hanya mencecah 6.5 meter sejak setahun lalu.

“Had kedalaman sebenar di Pelabuhan Kurap adalah 7.5 meter namun kini akibat tiada kerja-kerja membersihkan terusan, laluan disitu hanya 6.5 meter menyebabkan kapal tidak dapat berlabuh.

“Bagi setiap meter kedalaman, sebuah kapal mampu membawa muatan sehingga 5,000 tan dan kekurangan kedalam seperti yang berlaku di pelabuhan itu menyebabkan berat muatan terpaksa dikurangkan namun kos pengangkutan kekal sama,” tegasnya.

Sebelum ini,  LPK pernah menafikan tuduhan itu sebaliknya mendakwa menghubungi Northport, operator terminal pada 16 Oktober 2023 untuk berhubung dengan pengadu dan mendapatkan butiran mengenai jangkaan draf (kedalaman) kapal dalam tempoh tiga bulan untuk penyediaan jadual pasang surut air laut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast