TAWAU – Kira-kira 40 penghuni rumah teres dua tingkat di Taman Victoria kehilangan tempat tinggal selepas sembilan buah rumah di Lorong 4 taman itu musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Rastam Kaladi berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 1.54 petang dan bergegas ke lokasi kejadian dengan 32 anggota serta empat jentera bomba.
“Satu rumah dapat diselamatkan di lorong itu, dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Seorang mangsa Muliadi Muhidin, 55, berkata dalam keadaan kelam kabut selepas mendengar jeritan jiran serta melihat api marak, dia hanya terfikir mahu memastikan isteri serta dua anaknya selamat keluar daripada rumah sehingga terlupa untuk menyelamatkan dokumen penting.
“Saya sebenarnya baru pulang dari solat Jumaat, saya berehat sekejap dan mahu terlelap tetapi saya terdengar jeritan. Saya terus tengok keluar dan nampak api marak di rumah jiran dan asap tebal, saya terus bergegas memastikan anak isteri saya selamat.
“Saya hanya dapat selamatkan kereta dan empat kucing, yang lain musnah. Sudah 30 tahun saya tinggal di sini, saya pun masih berasa terkejut sebab berlaku secara tiba-tiba,” katanya.
Bagi Amin Alan, 74, berkata ketika kejadian, dia ke dapur untuk makan namun terdengar bunyi seperti orang berlari di atas atap lalu bertindak keluar rumah dan terkejut apabila melihat rumah jiran di sebelah kiri terbakar.
“Saya terus berteriak, memberitahu ada api supaya jiran lain sedar, dan menyuruh isteri serta anak saya keluar rumah segera. Kami sekelurga keluar rumah sehelai sepinggang.
“Saya harap semua dokumen penting yang saya simpan serta duit lebih RM1,000 di dalam peti keselamatan tidak terbakar,” katanya.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Jainal berkata pihaknya akan memberi bantuan asas RM500 dan bantuan lain termasuk daripada pelbagai agensi.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah berkata ketika ini Jabatan Kebajikan sedang mengumpul data mangsa terlibat dan pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka jika perlu. – BERNAMA