Penduduk terjejas banjir di Kota Tinggi sudah mula pulang ke rumah masing-masing ekoran banjir di daerah itu semakin pulih.

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 4,972 mangsa dengan 1,387 keluarga ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 10 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 5,005 mangsa daripada 1,396 keluarga di 35 PPS.

Beliau berkata, keadaan banjir di Kota Tinggi semakin positif setelah jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 3,763 mangsa daripada 1,034 keluarga pada pagi ini berbanding 3,814 mangsa daripada 1,048 keluarga di 24 PPS yang direkodkan malam tadi.

“Keadaan banjir di Batu Pahat juga bertambah baik apabila jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 70 mangsa daripada 19 keluarga di satu PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memberitahu, hanya mangsa banjir di Mersing yang meningkat daripada 598 mangsa membabitkan 181 keluarga kepada 620 mangsa melibatkan 187 keluarga.

Sementara itu katanya, jumlah mangsa banjir di Segamat, Kluang dan Johor Bahru tidak menunjukkan perubahan sejak malam tadi.

“Seramai 350 mangsa daripada 102 keluarga di Kluang, 89 mangsa daripada 26 keluarga di Segamat dan 80 mangsa daripada 19 keluarga di Johor Bahru.

“Tiga jalan di negeri ini iaitu Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi; Jalan Tanah Abang, Mersing dan Lingkaran Kahang Barat, Kluang terputus hubungan dan ditutup untuk semua kenderaan,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran buruk hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi sehingga esok.

“Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor, menunjukkan dua sungai di negeri ini berada di paras bahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dan Sungai Linggiu di Kota Tinggi,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast