KUALA LUMPUR – Dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan menyemarakkan hujung minggu warga kota, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan kolaboras ibersama RIUH, sebuah platform kreatif di bawah MyCreative Ventures Group, menganjurkan ‘Destinasi Soul Station oleh Rapid KL’ yang berlangsung selama dua hari, mulai hari ini.

Bertempat di Parc, Subang, acara ini menyasarkan lebih 20,000 orang pengunjung.

Pelbagai aktiviti dan sesi bengkel menarik diadakan seperti melukis graffiti secara ‘live’ oleh Madnor & Akid One, bengkel melukis jubin oleh Zen Ceramic, Bubble Showcase oleh Buehbossa, Daun Concrete Planter oleh Cucuk Tanam, dan lain-lain.

Pengunjung juga turut dapat menyaksikan persembahan daripada barisan artis-artis tempatan seperti Naki, Langkasuka, Heidi Moru Shin, Apriltwentyfifth, Crinkle Cut, Saint Kylo, dan Muah! yang turut menampilkan Naim Daniel.

Selain mendekati komuniti setempat dan meraikan para pengguna setia Rapid KL, acara ‘Destinasi Soul Station oleh Rapid KL’ ini juga menjadi salah satu platform bagi peniaga tempatan mempromosikan aneka makanan dan minuman serta hasil tangan seperti barangan seni, kraftangan, pakaian dan barangan jenama tempatan yang lain.

Bagi memudahkan perjalanan ke tapak acara, orang ramai digalakkan menaiki pengangkutan awam. Bas perantara percuma dari Stesen LRT Subang Jaya ke Parc, Subang dengan kekerapan setiap 15-20 minit disediakan dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

Selain perkhidmatan tren, pengunjung juga boleh menaiki bas yang melalui laluan-laluan 641 / 708 / 783 / 771 dan berhenti di SJ55 Subang Jaya Medical Center atau SJ2 Sime Darby Health untuk ke tapak acara ‘Destinasi Soul Station oleh Rapid KL’.

Bagi yang menaiki kenderaan sendiri, adalah amat digalakkan untuk memarkir kenderaan di stesen LRT Ara Damansara, LRT Glenmarie dan LRT Putra Heights dengan kadar bayaran semasa. – MalaysiaGazette