Himpunan Selamatkan Malaysia
Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta mengemukakan usul berkaitan pendaftaran pengislaman agar dapat diharmonikan dengan undang-undang sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usul tersebut akan dibawa kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang dipengerusikan oleh Tun Zaki bin Azmi.

Menurut beliau, langkah itu adalah susulan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak kepada Loh Siew Hong yang ditukar secara sepihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Saya percaya penghakiman tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan hakim-hakim Mahkamah Rayuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, berhubung isu penukaran agama secara unilateral, mahkamah terikat dengan keputusan kes Indira Gandhi yang menetapkan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa mesti diperoleh sebelum kanak-kanak di bawah umur ditukar agama.

Mohd Na’im memberitahu, ketika ini, terdapat lapan negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka, Sarawak, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis yang menghendaki keizinan hanya daripada salah satu pihak sama ada ibu atau bapa bagi
kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun.

Beliau menambah, lima negeri pula iaitu Pulau Pinang, Sabah, Johor, Selangor dan Pahang menghendaki keizinan kedua ibu dan bapa bagi kemasukan Islam kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun.

“Bagi Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Johor, peruntukan mengenai keizinan kedua ibu dan bapa bagi kemasukan Islam kanak- kanak yang belum mencapai umur 18 tahun merupakan peruntukan asal dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam/Enakmen Majlis Agama Islam negeri-negeri.

“Manakala Pahang menggantikan perkataan ‘ibu atau bapa’ kepada ‘ibu dan bapa’ pada 2020 iaitu selepas keputusan kes Indira Gandhi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd Na’im menyeru seluruh umat Islam dan rakyat agar bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast