Pelanggan tidak melepaskan peluang mendapatlan barang seperti karpet selepas pemilik membuat jualan murah sejak malam tadi.

KOTA TINGGI – Bandar Kota Tinggi yang ditenggelami air sejak seminggu lalu kini ‘hidup’ semula.

Kebanyakan premis perniagaan sibuk membersihkan kedai masing-masing yang kotor akibat banjir.

Dalam pada itu, terdapat dalam kalangan pemilik kedai menawarkan jualan lelong bagi barang-barang yang dijual.

Antaranya kedai permaisana Nilai Tiga yang terletak di bandar ini.

Pemilik perniagaan itu, Malini Sirajuddin, 42 berkata, dia menawarkan potongan sehingga 30 peratus untuk belian permaidani.

Harga lelong itu dibuat selama tiga hari sejak malam semalam selama 24 jam.

 

Malini Sirajuddin

Lelongan dilakukan selama tiga hari sejak malam semalam selama 24 jam.

“Sebenarnya barang-barang kami tidak banyak yang rosak tetapi kita jual murah sebab niat nak membantu mangsa-mangsa banjir.

“Kita pun tidak lama lagi nak puasa, jadi saya rasa tak salah kami jual murah-murah bantu mereka,” katanya ketika ditemui kedainya di sini.

Tawaran yang dibuat oleh kedai Nilai Tiga ini mendapat sambutan baik termasuk dalam kalangan pelanggan.

Seorang penduduk Kota Tinggi Anwar Jemain,50 berkata, dia tidak melepaskan peluang memborong beberapa keperluan seperti bantal dan pengalas kaki.

Sirajuddin

“Memang murah. Niat hati hanya nak beli bantal tetapi disebabkan murah saya beli juga yang lain.

“Saya dapat tahu jualan murah kedai ini dari Facebook,” katanya.

Sementara itu bagi suri rumah Habibah Abas,40 berkata, beliau berterima kasih kepada pemilik kerana prihatin dengan nasib mangsa banjir.

Habibah

Katanya, tawaran ini mengurangkan beban kepada mangsa banjir yang mengalami pelbagai kerugian disebabkan bencana itu.

“Syukur sangat bila ada jualan murah begini. Lagipun barang yang dijual pun tidak rosak.

“Saya beli bantal, selimut enam helai sebab yang lama semua entah ke mana,”katanya.

Dalam pada itu, penduduk seperti Zita Mahuddin,39 yang tidak terlibat dengan banjir juga tidak lepaskan peluang memborong beberapa barang keperluan.

Zita

Baginya jualan murah itu sebagai rezeki.

“Rumah saya memang tidak terlibat banjir tetapi saya beli untuk gantikan bantal dan selimut lama.

“Lagipun dia (pemilik) jual murah. Puasa dan Hari Raya pun nak dekat jadi kalau saudara mara datang rumah senang,” katanya.

Dalam pada itu, pemerhatian MalaysiaGazette mendapati cuaca di Kota Tinggi semakin baik.

Setakat jam 3 petang tadi, cuaca masih panas berbanding hari-hari sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast