BERA – Polis Bera menafikan insiden kes culik dua pelajar di Bera yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir bekata, siasatan polis telah dijalankan dan mengesahkan kejadian tersebut tidak benar.
Menurutnya hantaran tersebut mula tular sejak 12 Januari 2024 pada jam 2.30 petang menerusi akaun Facebook ’Bera Unite’ dalam media sosial.
”Hantaran itu menyatakan dua orang murid sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong telah cuba untuk diculik oleh seorang lelaki yang memandu sebuah van dengan mengajak orang murid sekolah berkenaan menaiki van tersebut.
”Pihak polis telah menjalankan siasatan berkaitan kejadian dan mendapati kejadian seperti yang ditularkan dalam media sosial berkenaan adalah tidak benar di mana kejadian tidak berlaku dan maklumat tersebut adalah palsu,” katanya.
Justeru beliau menasihati orang awam agar tidak terus menularkan isu berkenaan dan perlu lebih berhati-hati dalam menerima apa jua bentuk maklumat yang tidak sahih akan kebenarannya. – MalaysiaGazette