rabies dogs dog Selangor

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kes gigitan anjing positif Rabies yang berlaku di Sarawak telah diberikan vaksin.

Perkara berkenaan disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana 11 kes digigit oleh anjing yang sama.

Menurutnya, sebanyak lapan kes berlaku pada 6 Januari manakala selebihnya pada 7 Januari di kawasan Tabuan Desa Indah dan Lorong Tabuan Timur, Daerah Kuching, Sarawak.

“Salah seorang kes telah dimasukkan ke ward (Hospital Umum Sarawak) pada 6 Januari 2024 kerana perlu diberikan prosedur perawatan luka (wound debridement) manakala kes yang lain diberikan rawatan pesakit luar,” kata KKM menerusi kenyataan.

Jelas KKM, anjing tersebut telah dapt ditangkap oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dalam pada itu, kes ke-12 yang digigit seekor anjing peliharaan dan telah mendapat rawatan di HUS pada 7 Januari lalu.

“Anjing tersebut telah diserahkan secara sukarela kepada pihak berkuasa tempatan dan keputusan ujian makmal yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan anjing tersebut adalah positif rabies.

“Kes tersebut juga telah diberikan vaksin anti-rabies serta rawatan Rabies Immunoglobulin (RIG) dan diberikan rawatan pesakit luar,” jelasnya.

KKM berkata semua kes kini berada dalam keadaan stabil. -MalaysiaGazette