PERTAMA sekali tanyalah diri sendiri, mampukah kita hidup tujuh hari berturut-turut tanpa air, tanpa bekalan elektrik?
Ramai daripada kita boleh hilang sabar atau hampir menjadi gila jika tidak mendapat bekalan air atau elektrik lebih tiga hari, apatah lagi tujuh hari berturut-turut.
Ramai yang akan menjerit pekik, mengeluh mengenai kepayahan yang menimpa. Bagaimana untuk mandi? Bagaimana untuk membasuh? Paling mustahak bagaimana untuk membersihkan diri selepas membuang air besar dan kecil?
Tanpa elektrik segala peralatan tidak boleh digunakankan. Pendingin hawa, kipas angin, pengosok baju, televisyen,telefon dan bermacam lagi.
Sekarang tanya diri kita bolehkah kita bertahan untuk 100 hari tanpa bekalan air dan elektrik? Mungkin setengah daripada kita akan sakit mental, mendapat tekanan darah tinggi, migrain dan bermacam lagi.
Kemudian tanya diri kita bolehkah mengharungi hidup dengan ledakan bom dan bunyi tembakan di sana-sini. Bangunan dan rumah dimusnahkan satu demi satu.
Bayangkan kita dipaksa keluar dari rumah dan melarikan diri ke kawasan yang dikatakan selamat. Berjalan kaki sehelai sepinggang. Di pertengahan jalan bom digugurkan dari udara. Malah anda boleh menjadi mangsa penembak tepat pada bila-bila masa.
Bila sampai di kawasan yang dikatakan selamat, kita tetap berhadapan dengan peluru berpandu, penembak tepat.
Mayat bergelimpangan di mana-mana. Mereka yang cedera tidak boleh mendapat rawatan kerana pusat kesihatan juga musnah.
Bayangkan anda berhadapan dengan situasi itu untuk satu hari, kemudian seminggu dan kemudian 100 hari. Mampukah anda bertahan?
Itulah keadaan yang menimpa rakyat Palestin di Gaza. Bukan sehari dua mereka ditekan dan diancam oleh tentera Israel. Hari ini masuk hari yang ke-100.
Bayangkan kita berada di tempat mereka. Kediaman telah musnah. Tinggal di dalam khemah di kawasan padang pasir atau atas jalan raya berhadapan dengan musim sejuk yang sedang melanda. Tiada selimut tebal. Tiada baju tebal. Tiada tilam. Semua ditinggalkan di rumah yang telah dimusnahkan oleh Israel.
Trak bantuan kemanusiaan daripada luar disekat oleh tentera zionis untuk masuk ke Gaza. Bahagian utara wilayah itu telah terputus bekalan kemanusiaan sejak sekian lama. Bahagian tengah dan selatan juga begitu.
Bahagian paling selatan iaitu Rafah yang kini menjadi tempat lebih 1 juta pelarian juga menghadapi masalah yang sama walaupun itu merupakan pintu masuk antara Gaza dan Mesir.
Selama 100 hari sudah mereka lalui penderitaan dan penyeksaan. Kehilangan orang tersayang dengan lebih 23,000 telah mati dan berpuluh ribu lagi “hilang” di bawah runtuhan bangunan yang dibom oleh Israel.
Melihat foto dan video di media sosial, mungkin ramai penduduk Gaza kini hidup dengan makan sekali sehari. Bekalan makanan dan air semakin habis. Tanpa gas dan bekalan elektrik, pokok-pokok ditebang untuk dijadikan kayu api untuk memasak dan memanaskan badan dalam cuaca dingin musim sejuk.
Kebanyakan yang terselamat daripada pengeboman Israel kita berjuang untuk meneruskan kehidupan.
Ada yang kelihatan telah berputus asa, 100 hari mereka telah bertahan dan ia sudah cukup terlalu lama terutama kepada mereka yang telah kehilangan anggota keluarga.
Seorang wartawan Palestin di Gaza, Motaz Azaiza mencatatkan di X beberapa hari lalu:
“Adakah saya perlu meneruskan penggambaran dan membuat liputan lagi? Sampai bila saya akan terus berdiri di atas kaki saya? Adakah anda menunggu saya rebah?
“Patutkah saya mengambil berat tentang masyarakat antarabangsa? Patutkah saya mengambil berat tentang hidup saya? Adakah saya akan memulakan impian saya untuk mengembara ke seluruh dunia?
“Walaupun saya berjaya dan terus hidup, adakah saya dapat menikmati detik dalam hidup saya secara mental? Patutkah saya bertahan dalam keadaan ini?
“Apa yang perlu dilakukan pada rambut uban yang mula kelihatan di janggut saya juga, seperti saya seorang lelaki tua bukan 24 tahun.
“Kita boleh bercakap tentang menjadi kuat untuk selama-lamanya tetapi walaupun cakap anda tidak dimaksudkan untuk situasi ini.
“Ini tidak pernah berlaku kepada sesiapa, malah lelaki yang memberitahu anda untuk kekal kuat, dia tidak pernah melalui ini!”
Coretannya yang mengambarkan penderitan terpendam yang dialaminya.
Dia bukan sahaja mula hilang kepercayaan terhadap diri sendiri tetapi juga kepada dunia yang begitu lambat bertindak untuk menghentikan kekejaman Israel.
Bayangkan seorang lelaki yang kuat berusia 24 tahun kelihatan mula goyah bagaimanapun dengan kanak-kanak, wanita dan orang tua?
Adakah Motaza Aizaza akan terus hidup beberapa hari lagi, selepas lebih 100 rakan medianya dibunuh oleh Israel?
Bolehkah rakyat Palestin di Gaza untuk bertahan tiga hari lagi? Tujuh hari lagi? Masihkah mampu untuk mereka bertahan untuk 100 hari lagi.
Adakah kita akan terus melihat tanpa berbuat apa-apa dan membiarkan mereka terus dibunuh.
Sanggupkah kita terus meminta mereka untuk bertahan, sedangkan mereka tidak lagi mampu? Sejarah akan menghukum kita yang hanya melihat. – MalaysiaGazette