KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) perlu memikirkan semula langkah komunikasi berkesan mengenai advokasi serta kesedaran keselamatan jalan raya kepada orang ramai yang boleh dijalankan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, MOT boleh menjalankan komunikasi konsisten dan serius sepanjang tahun disemua peringkat dengan pihak berkepentingan yang berkaitan seperti digariskan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan 2022 hingga 2030.
Katanya, MOT juga perlu proaktif dan menyegarkan usaha komunikasi sepanjang tahun kepada orang ramai dengan menggunakan arus perdana dan media alternatif termasuk media sosial.
“Kementerian Pengangkutan boleh mendapatkan kerjasama daripada semua agensi, kementerian dan GLC untuk mengambil langkah keselamatan dengan mengingatkan pekerja mereka untuk sentiasa memakai tali pinggang keledar belakang dan topi keledar keselamatan semasa waktu perjalanan.
“Kementerian Pengangkutan dan JPJ perlu telus berhubung statistik Sistem Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang merupakan suatu prosedur pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan motor yang melakukan kesalahan terjadual di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
“JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) perlu bekerjasama dengan PDRM untuk menyediakan data kemalangan jalan raya dan kematian secara bulanan atau suku tahunan kepada media dan bukannya hanya data kemalangan jalan raya tahunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lee, MOT juga perlu memulakan program komunikasi dan jangkauan baharu bagi menangani angka kemalangan dan kematian yang tinggi dalam kalangan penunggang motosikal terutamanya pelajar sekolah, remaja dan dewasa muda.
Jelasnya, pendekatan komunikasi unik sepanjang tahun dan program jangkauan yang konsisten dengan kumpulan penunggang motosikal terutamanya golongan muda mesti dilaksanakan.
Tambah beliau, pasukan petugas komunikasi khas untuk setiap lima daerah terburuk di Malaysia yang mencatatkan kematian jalan raya tahunan tertinggi perlu ditubuhkan.
“Transformasi peranan dan fungsi Majlis Keselamatan Jalan Raya menjadi pusat perhubungan di setiap negeri.
“(Ia) melibatkan komuniti tempatan terutamanya ibu bapa penunggang motosikal muda melalui program jangkauan yang konsisten.
“Oleh itu, adalah menjadi harapan besar kami agar kerajaan dapat mengambil semula komitmennya dan menumpukan usaha untuk menyelamatkan nyawa di jalan raya dengan komunikasi yang jelas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lee berkata, pengumuman terbaharu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bahawa tiada lagi acara untuk majlis kempen keselamatan jalan raya yang yang kebiasaannya dilancarkan semasa musim perayaan untuk tempoh perjalanan ‘balik kampung’ membayangkan bahawa kempen dan komunikasi untuk menyelamatkan nyawa di jalan raya selama ini telah gagal.
Katanya, bukan sesuatu yang baru untuk acara seperti itu dibuat dan ia hanyalah pendekatan akademik berulang tanpa sasaran pengurangan peratusan terhadap kematian dan kemalangan di jalan raya di seluruh negara yang ditetapkan oleh agensi penguatkuasaan.
Jelas beliau, ia adalah pendekatan biasa yang sama setiap tahun dan kerajaan menjangkakan hasil yang berbeza.
“Jelas sekali dalam tempoh 10 tahun yang lalu Kementerian Pengangkutan tidak dapat memastikan hasil yang baik daripada kempen keselamatan jalan raya.
“Selama bertahun-tahun, acara keselamatan jalan raya di kawasan Rehat dan Bersantai (R&R) di lebuh raya atau lokasi lain hanyalah pesta untuk agensi yang terlibat dengan pekerja berharga dan wang pembayar cukai digunakan tanpa hasil yang positif.
“Acara keselamatan jalan raya yang diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun iaitu pada Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri lebih kepada persembahan untuk tetamu dan bukannya untuk mencapai sasaran sebenar.
“Lazimnya, acara peringkat kebangsaan semasa musim perayaan tidak dirasai oleh pengguna motosikal yang merupakan kumpulan terbesar dengan jumlah kematian jalan raya tertinggi setiap hari termasuk dalam tempoh perjalanan balik kampung,” katanya. – MalaysiaGazette