KUANTAN – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori di Jalan Kuantan Bypass berhampiran Stesen Minyak shell, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian jam 5.34 pagi tadi membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dari arah Bukit Rangin menuju ke Taman Tas dan sebuah lori yang belum dapat dikenalpasti dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal terbabit hilang kawalan setiba di lokasi kejadian lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.

Menurut Wan Mohd Zahari, lori itu disyaki tidak menyedari kemalangan terbabit dan meneruskan perjalanan.

“Ekoran perlanggaran itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Azrul Danish Muhammad Darul, 20 yang beralamat di Taman Tas itu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya kini giat mengesan lori  terbabit dan saksi kejadian bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette