Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Komponen Perikatan Nasional (PN), Gerakanakan membangkitkan isu kenyataan kontroversi  bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat gabungan pembangkang itu pada minggu ini.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, Dr Mahathir tidak wajar mengeluarkan kenyataan mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Ia juga ternyata menyinggung perasaan kaum lain.

“Malaysia adalah sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum dan kepelbagaian tersebutlah menjadi tunjang keteguhan negara yang bertuah ini.

“Apa yang menyedihkan, bekas Perdana Menteri itu dalam temu bualnya berkata orang bukan Melayu telah compensated well atas sumbang mereka. Bolehkah kita ‘memberi pampasan’ kepada rakyat kita sendiri?”

“Ahli politik perlu keluar dari perigi politik cetek, tidak guna kita mendabik dada sebagai sebuah negara yang pesat membangun, tetapi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat diserang barah!” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Dr Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Bercakap dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Dr Mahathir berkata, seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

“Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil,” katanya ketika hos bertanya jika seseorang itu tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul mereka.

Tambah Dominic, Gerakan pernah sebelum ini mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir dalam mengutarakan kekesalan berhubung kenyataan kontroversinya semasa Pilihanraya Kecil Pulai tahun lalu di mana beliau menyatakan parti politik pimpinan bukan Melayu sebagai parti pendatang.

“Gerakan berpendapat kenyataan-kenyataan sebegini daripada seorang yang dilihat sebagai negarawan adalah sangat menyinggung dan Kerajaan perlu menasihatkan beliau untuk tidak terus menanam perbezaan yang berkemungkinan memecahkan semangat Bangsa Malaysia yang telah kita bina selama ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette