KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies berjanji skuad kebangsaan tidak akan bersikap defensif sebaliknya sedia bersaing dengan pasukan yang jauh lebih tinggi di Piala Asia 2023.
Bek kanan itu berkata, Malaysia mahu layak ke pusingan mati pada kejohanan itu dan kekuatan skuad kendalian Kim Pan-gon menyasarkan kedudukan di tangga kedua kumpulan.
“Kami mahu layak (secara automatik) ke pusingan 16 dengan sekurang-kurangnya menduduki tempat kedua dalam kumpulan.
“Sudah lama kami tidak layak secara merit, kami sangat berbangga dengan fakta itu,” katanya yang bermain untuk pasukan Liga Super Malaysia Johor Darul Ta’zim.
Davies juga memberi kredit kepada jurulatih dan staf kerana melindungi pasukan daripada terlalu gementar dan harapan dari luar.
“Kami benar-benar fokus dan melakukan perkara kami sendiri. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah keluar dan bermain bola sepak kami,” katanya kepada Flash Sukan.
Malaysia akan berdepan Jordan di Stadium Al Janoub dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada awal pagi esok.
Jordan pernah menewaskan Malaysia 1-0 pada 2019 dan 4-0 dua tahun kemudian tetapi Davies percaya mereka sudah bersedia untuk mengekang asakan pasukan lawan.
Malaysia memenangi hanya satu daripada sembilan perlawanan Piala Asia iaitu seri tiga, kalah lima, tewas setiap satu daripada tiga perlawanan terakhir dalam pertandingan itu.
Kempen edisi kali ini adalah penampilan pertama Malaysia dalam kejohanan itu sejak 2007. – MalaysiaGazette