KUALA LUMPUR – Polis masih belum putus asa mengesan suspek kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, tindakan mengumpul maklumat dan risikan sedang dilaksana untuk mendapatkan petunjuk baharu.

“Masih dalam tindakan. Insya -Allah,” katanya seperti dilaporkan.

Pada Khamis lalu, beberapa pegawai dan anggota polis dilihat hadir ke Apartmen Indah, Damansara Damai dipercayai bagi meneruskan siasatan pembunuhan Zayn Rayyan, 6.

Difahamkan, anggota terbabit termasuk daripada Bahagian Operasi Khas (D8),

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini turut mengesahkan kehadiran pasukan penyiasat sambil memaklumkan langkah itu adalah bagi tujuan menyemak beberapa perkara.

Media sebelum ini melaporkan, pembunuhan kanak-kanak itu perlu diperincikan bagi mengenal pasti pelaku dan motif pembunuhan itu.

Malah Razarudin turut dilapor berkata, siasatan kes itu sudah melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik. – MalaysiaGazette