S Usha Nantiny, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 dua tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen pagi ini atas pertuduhan  rasuah RM20,000  dalam kejadian dua tahun lali.

Kesalahan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang wanita yang terlibat kes pecah amanah dua tahun lalu.

S Usha Nantiny, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa meminta suapan RM20,000 daripada seorang lelaki bagi melepaskan isterinya yang terlibat dalam kes pecah amanah sebagai dorongan untuk tidak menahan wanita berkenaan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Segamat pada jam 4.50 petang, 28 Ogos 2022.

Ia  bagi mengelak siasatan dijalankan bagi kesalahan dilakukannya di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sedang disiasat pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Ia boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam, S. Selvantheran.

Pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya diberikan jaminan tinggi berjumlah RM15,000 kerana itu merupakan satu kesalahan yang berat berserta beberapa syarat tambahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri ke Pejabat SPRM Segamat setiap bulan.

Kes akan disebut semula 24 Mac depan untuk serahan dokumen.-MalaysiaGazette