Oleh: Dr. Hafidz Hakimi Haron
SEJAK beberapa tahun yang lalu, negara telah mengalami beberapa peristiwa memeritkan yang mengakibatkan kemelut politik yang tidak berkesudahan. Malah, pada satu ketika, pembentukan kerajaan perpaduan adalah diharapkan dapat menoktahkan kemelut politik yang melanda negara. Namun yang demikian, ’kecairan’ sokongan dalam kalangan ahli-ahli politik mutakhir ini telah menimbulkan beberapa cabaran terhadap amalan demokrasi berparlimen di negara ini. Terdahulu, kontroversi timbul apabila sebilangan ahli-ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada pimpinan perdana menteri, di mana ia telah menimbulkan perdebatan sama ada ianya bertentangan dengan mekanisme kawalan aktiviti lompat parti yang diwujudkan didalam Perlembagaan Persekutuan ataupun sebaliknya. Terkini, timbul pula desas desus mengenai usul undi tidak percaya mahu diusulkan terhadap kepimpinan perdana menteri di Dewan Rakyat.
Walaupun kedua-duanya adalah dua reaksi politik yang berlainan, namun apa yang pasti ianya mampu memberikan kesan yang besar terhadap negara, apatah lagi mandat pemerintahan sudahpun diberikan oleh rakyat menerusi pilihan raya. Namun begitu, ada juga pihak yang berpendapat bahawa usul undi tidak percaya merupakan satu langkah demokratik yang positif, terutamanya dalam konteks untuk meguji keabsahan sokongan terhadap perdana menteri yang sedia ada di Dewan Rakyat. Kedua-dua pendapat ini sedikit sebanyak menuntut kita untuk memahami dengan lebih mendalam apakah yang dimaksudkan dengan undi tidak percaya dan kesannya terhadap institusi pemerintahan negara dan perdana menteri.
Memahami institusi perdana menteri
Institusi perdana menteri pada asasnya mempunyai sejarah yang panjang, dan telah berevolusi sejak 250 tahun yang lalu. Namun, institusi Perdana Menteri yang diamalkan di Malaysia pada hari ini adalah berdasarkan model Westminister British, yang mula diperkenalkan secara rasmi sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Secara umumnya, jawatan Perdana Menteri adalah jawatan yang terpenting didalam Perlembagaan Persekutuan diatas kapasitinya sebagai ketua kerajaan. Di peringkat negeri pula, jawatan ketua kerajaan disandang oleh menteri besar ataupun ketua menteri. Secara umumnya, perdana menteri merupakan jawatan terpenting didalam Perlembagaan, dimana beliau merupakan ketua kerajaan diperingkat Persekutuan. Perlantikan perdana menteri seterusnya membuka ruang kepada perlantikan Jemaah Menteri dimana perlantikan ahli-ahli Jemaah Menteri adalah dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, di atas nasihat Perdana Menteri sepertimana yang termaktub dibawah Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri adalah dilantik di atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai ketua negara. Namun budi bicara baginda adalah tertakluk kepada Perkara 43(2) yang menetapkan bahawa seseorang perdana menteri itu haruslah dilantik dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti daripada 222 ahli Dewan tersebut. Perlu diingatkan bahawa, walaupun secara konvenseyennya perdana menteri lazimnya dilantik daripada kalangan pemimpin parti politik yang memenangi sesebuah pilihan raya umum, namun Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkannya secara khusus. Hal yang demikian adalah kerana Perlembagaan hanya mensyaratkan bahawa seseorang perdana menteri tersebut haruslah mempunyai sokongan dan keyakinan majoriti oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain diatas kapasiti beliau sebagai seorang ahli Dewan Rakyat, dan bukannya sebagai seorang pemimpin parti politik yang diwakilinya.
Perlu difahami walaupun perlantikan perdana menteri dibuat diatas hemat dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, namun perdana menteri tidak memegang jawatan di atas perkenan baginda. Hal ini jelas dinyatakan melalui Perkara 43(4) yang memperuntukkan bahawa “Jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika ataspermintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.
Oleh yang demikian, secara mudahnya Yang di-Pertuan Agong boleh memecat seseorang perdana menteri hanya sekiranya terbukti bahawa perdana menteri tersebut sudah kehilangan keyakinan dan kepercayaannya secara sah, namun masih lagi enggan untuk meletakkan jawatannya. Secara mudahnya kedudukan perdana menteri tidak boleh diganggu gugat tanpa sebuah usul undi tidak percaya dilakukan.
Undi tidak percaya di Malaysia
Seperti yang dinyatakan terdahulu, Perlembagaan Persekutuan menggariskan bahawa kata kunci utama yang melayakkan seseorang untuk dilantik sebagai perdana menteri adalah sama ada beliau masih lagi mempunyai ’keyakinan’ majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain untuk terus memimpin Dewan Rakyat di Parlimen. Oleh itu, sekiranya seseorang perdana menteri sudah hilang keyakinan dan kepercayaan untuk terus memimpin kerajaan dan juga Dewan Rakyat, maka secara mudahnya, perdana menteri tersebut boleh kehilangan mandatnya untuk terus memimpin.
Dalam kalangan ahli perundangan dan akademik, timbul beberapa pandangan berbeza tentang bagaimana sesebuah ’keyakinan’ yang merujuk kepada kepercayaan itu dapat diiukur. Hal ini penting untuk difahami dan dibahaskan oleh kerana seseorang perdana menteri itu berdiri diatas keyakinan ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain. Namun pendapat yang diterima paka i secara meluas adalah sekiranya timbul sesuatu ketidakyakinan terhadap seseorang pemimpin kerajaan tersebut, termasuklah perdana menteri, maka ketidakyakinan tersebut haruslah dimanifestasikan didalam Dewan Perundangan. Secara mudahnya, suatu kaedah, yang dikenali sebagai ’motion of no-confidence’ atau usul undi tidak percaya adalah wajar dilakukakan.
Secara istilahnya usul undi tidak percaya merujuk kepada satu pernyataan undi yang menyatakan bahawa seseorang tidak lagi layak untuk memegang sesebuah jawatan. Oleh yang demikian, usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri adalah merujuk kepada
manifestasi ahli Dewan Rakyat bahawa Perdana Menteri tersebut sudah tidak lagi mempunyai kepercayaan daripada ahli dewan untuk terus memegang jawatan perdana menteri. Pada pandangan penulis, ketiadaan peruntukan yang jelas berkenaan dengan proses menzahirkan keyakinan atau ketidakyakinan terhadap seseorang ketua kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun diperingkat Pusat didalam Perlembagaan Persekutuan telah menuntut tafsiran-tafsiran undang-undang dilakukan berkenaan dengan penzahiran ketidakpercayaan tersebut.
Menurut Professor Madya Datuk Dr Shamrahayu Aziz, sesebuah undi tidak percaya boleh dizahirkan dengan pelbagai cara. Pertamanya ianya boleh dizahirkan melalui sebuah undi secara formal didalam Dewan. Dalam hal ini, sebuah usul undi tidak percaya adalah tertakluk kepada Aturan Mesyuarat di Parlimen. Aturan Mesyuarat ini dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dibuat menurut Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan. Peraturan Mesyuarat ini berperanan sebagai satu mekanisme bagi menentukan tatacara didalam persidangan Dewan Rakyat. Perlu diingatkan bahawa, peraturan mesyuarat menuntut kepada urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan yang lain.
Walau bagaimanapun aturan ini boleh diubah sekiranya dicadangkan oleh seorang menteri. Dalam pada itu, kegagalan kerajaan untuk meluluskan sebuah Rang Undang-Undang pada bacaan kedua dan/atau ketiga juga boleh ditafsirkan sebagai suatu bentuk undi tidak percaya. Seterusnya, undi tidak percaya juga boleh dimanifestasikan sekiranya kerajaan gagal melaksanakan sesuatu polisi yang penting. Undi tidak percaya juga boleh terjadi sekiranya perdana menteri gagal mendapatkan undi percaya setelah mengusulkannya didalam Dewan.
Akhir sekali, sebuah undi tidak percaya juga boleh wujud akibat situasi luar biasa, termasuklah melalui aktiviti lompat parti atau pertukaran sokongan terhadap kepimpinan. Sehingga hari ini walaupun telah beberapa kali percubaan untuk membawa usul undi tidak percaya ke atas perdana menteri telah dilakukan di Dewan Rakyat, namun ianya masih belum pernah dibahaskan apatah lagi diluluskan di peringkat Persekutuan. Senario ini adalah cukup berbeza jika dibandingkan di peringkat negeri dimana terdapat beberapa peristiwa bahawa usul undi tidak percaya berjaya diluluskan.
Hal ini termasuklah yang terjadi di negeri Kelantan pada tahun 1977. Pertikaian mengenai pemecatan Ketua Menteri oleh seorang gabenor atas alasan bahawa Ketua Menteri tersebut telah kehilangan majoriti keyakinan ahli Dewan juga turut belaku di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada tahun 1961. Tahun 2020 pula menyaksikan Menteri Besar Perak pada ketika itu telah kehilangan sokongannya di Dewan Undangan Negeri Perak akibat daripada kegagalan beliau untuk mempertahankan jawatannya melalui usul undi percaya.
Implikasi undi tidak percaya
Sekiranya undi tidak percaya berjaya dizahirkan dan diluluskan di Dewan Rakyat, maka sudah tentu ianya akan meberikan impak yang sangat besar terhadap institusi pentadbiran negara. Kesan yang paling besar adalah perdana menteri tersebut haruslah meletakkan jawatan sepertimana yang dikehendaki oleh Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Dalam pada masa yang sama, Jemaah Menteri akan turut terbubar oleh kerana perdana menteri telah kehilangan kepercayaannya di Dewan Rakyat disebabkan nukleus kuasa sesebuah Jemaah Menteri adalah terletak kepada lantikan seseorang perdana menteri. Secara mudahnya, pada ketika itu negara tidak mempunyai sebuah kerajaan yang bermandat untuk mentadbir, dan berkemungkinan besar akan diuruskan oleh sebuah kerajaan interim bermandat terhad yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Oleh yang demikian, seorang perdana menteri baharu haruslah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi meneruskan kelangsungan pentadbiran negara. Dalam hal ini terdapat dua kaedah yang boleh diambil bagi mengisi kekosongan jawatan perdana menteri. Pertamanya, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada ketika itu pada hemat Baginda memiliki keyakinan majoriti ahli Dewan tersebut. Kaedah ini sudah tentu mampu menjimatkan kos dan masa serta mampu memberikan penyelesaian yang lebih pantas dalam menangani isu kekosongan jawatan perdana menteri.
Kaedah yang kedua adalah menerusi pembubaran Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong, di atas nasihat perdana menteri sebelum meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri. Keadaan ini akan mewajibkan suatu Pilihan Raya Umum untuk diadakan bagi memilih wakil-wakil rakyat yang baharu. Pada pandangan penulis, walaupun kaedah ini adalah kaedah yang paling demokratik, namun ianya bakal memberikan tekanan kos kepada pihak kerajaan bagi melaksanakan sebuah pilihan raya.
Dalam pada masa yang sama, seseorang perdana menteri juga mempunyai beberapa cara bagi mengelakkan sesebuah undi tidak percaya dilaksanakan keatasnya. Pertamanya, seseorang Perdana Menteri boleh mengusulkan sebuah undi percaya dibuat ke atasnya,
di mana kejayaan pengundian tersebut boleh memberikan keabsahan dan legitimasi yang jelas terhadap kepimpinannya. Seterusnya perdana menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memprorog atau menangguhkan sidang parlimen sehingga selama enam bulan. Keadaan ini mampu mengelakkan sesuatu usul undi tidak percaya dibentangkan di Parlimen sekali gus memberikan ruang kepada Perdana Menteri untuk merayu dan menambahkan sokongan politik terhadap beliau.
Sebagai seorang rakyat biasa, adalah besar harapan penulis untuk melihat situasi politik di Malaysia kembali stabil setelah bertahun-tahun mengalami krisis ketidakstabilan politik yang dilihat jauh daripada berkesudahan. Pada pandangan penulis, suatu mekanisme khusus samada melalui kaedah formal mahupun tidak formal haruslah dirangka bagi menjamin kestabilan politik dapat dinikmati untuk jangka masa yang panjang. Perkara-perkara berbangkit yang berkaitan yang mampu mencetuskan ketidakstabilan negara seperti aktiviti lompat parti, penzahiran sokongan terhadap perdana menteri mahupun undi tidak percaya haruslah diuruskan dan dikawal selia dengan lebih baik.
Dalam pada itu, penekanan yang lebih jitu haruslah diberikan terhadap aspek integriti politik termasuklah yang merangkumi elemen-elemen fitnah bermotifkan politik, pecah amanah, salah guna kuasa, ataupun politik wang. Akhir kata, di dalam meraikan peranan undi tidak percaya untuk memastikan bahawa seseorang ketua kerajaan itu benar-benar layak untuk menerajui kerajaannya, namun penulis berpendapat tindakan ini haruslah dianggap sebagai jalan terakhir dalam menentukan keabsahan sesebuah kerajaan oleh kerana ianya boleh memberikan kesan yang sangat besar kepada rakyat dan negara.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-Undang, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia.