51 set bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau, di sekitar perairan Pulau Kalumpang, Perak di sini, semalam.

KUALA KANGSAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau merampas 51 bubu naga di Pulau Kalumpang, Perak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, rampasan itu  dibuat di kedudukan 9.6 batu nautika barat daya pulau tersebut ketika pihaknya melaksanakan rondaan rutin di perairan Larut Matang apabila anggota penguat kuasa mengesan penanda bendera yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bendera itu menemukan 51 set bubu naga yang bernilai hampir RM4,000 di kawasan terbabit.

“Kesemua bubu naga tersebut dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Najhan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa lesen yang sah.

Berikutan itum beliau meminta orang ramai khususnya nelayan  mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kelestarian ekosistem marin negara. – MalaysiaGazette