KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi penerangan yang lebih jelas sekiranya berhasrat menggubal Rang Undang – Undang (RUU) Akta Parlimen Berpenggal Tetap (FTPA).
Ketua Pemuda Amanah Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli berkata, penerangan itu perlu supaya sokongan dan komitmen semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang diperoleh.
Tambahnya, pindaan kepada RUU yang dicadangkan harus memberi justifikasi bahawa objektif utamanya untuk menyelesaikan isu ketidakstabilan politik dan bukan bersifat sementara.
“Walaupun menyambut baik cadangan diutarakan itu, namun mekanisme pelaksaan perlu lebih jelas, lebih-lebih lagi jika kita mengambil kira pelbagai situasi yang berlaku pasca Langkah Sheraton yang telah menyebabkan suhu politik negara meningkat.
“FPTA bukanlah satu perkara baharu, akta tersebut pernah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen British setelah Parlimen tergantung kerana tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
“Matlamat akta tersebut adalah untuk memberikan satu tarikh yang tetap bagi sesbuah kerajaan yang memerintah sebelum parlimen dibubarkan secara automatik. Sebagai contoh, sabtu terakhir tahun kelima kerajaan tersebut dibentuk. Sesudah Parlimen dibubarkan, Pilihanraya Umum perlu dibuat dalam tempoh 60 hari.
Tambah Zulhafiz lagi, terdapat pihak berpendapat undang-undang sedia ada iaitu Akta Anti Lompat Parti sudah mencukupi untuk menghalang cubaan mengalih sokongan Ahli Parlimen, namun akta tersebut dilihat masih mempunyai kelompongan.
“Antara isu yang perlu diperhalusi adalah tindakan seorang Ahli Parlimen yang menyokong pihak yang tidak selari dengan pendirian partinya tanpa beliau keluar dari parti asal, tidak mengakibatkan individu itu dianggap melompat parti dan tidak perlu mengosongkan kerusi dimenanginya.
Dalam kata lain, Akta Lompat Parti tetap tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen memberikan sokongan kepada mana-mana pihak asalkan mereka tidak keluar dari parti mereka.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar undang-undang itu perlu dipinda dengan lebih tegas bagi memastikan ahli Parlimen tidak boleh mengubah sokongan mereka walaupun tanpa keluar dari parti asal akan menyebabkan kerusi mereka kosong.
“Kerajaan juga perlu mengambil perhatian bahawa penetapan tempoh Parlimen tidak akan menjamin penetapan jawatan Perdana Menteri.
“Ini kerana seorang perdana menteri hanya layak menduduki jawatan tersebut apabila beliau memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Walaupun tempoh masa Parlimen ditetapkan, perdana menteri yang hilang sokongan majoriti ahli dewan tetap perlu meletakkan jawatan. Jika tidak, apa-apa RUU dari Kerajaan tidak dapat diluluskan,” jelasnya. – MalaaysiaGazette