Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Dua anggota polis dipercayai terlibat dengan kes rogol dan samun penuntut kolej swasta di Ampang, pada 9 Januari lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka akan dituduh di Mahkamah Ampang jam 2 petang selepas menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kedua-dua anggota itu akan dituduh dibawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Seorang daripada mereka turut dituduh di bawah Seksyen 377C, Seksyen 377CA dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua anggota polis itu dikenakan tindakan tahan kerja serta-merta.

Tegas Hussein, tiada siapa akan dilindungi jika terbabit jenayah dan setiap kes akan disiasat serta dibawa ke muka pengadilan.

Sebelum ini, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel telah ditahan pada 10 Januari lalu disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan dalam MPV polis di Bukit Ampang View.

Polis mengesahkan menerima dua laporan daripada lelaki dan remaja perempuan warga asing yang juga penuntut di sebuah kolej swasta.

Kejadian dipercayai berlaku pada 9 Januari, jam 10.09 malam ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di Bukit Ampang View, ditahan dua suspek lelaki yang lengkap beruniform polis.

Seorang suspek disyaki merogol mangsa, manakala rakan lelakinya pula dibawa seorang lagi suspek ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang bagi membuat bayaran diminta kedua-dua suspek. – MalaysiaGazette