KUALA LUMPUR – Cubaan pembangkang menumbangkan Kerajaan Perpaduan dengan mendakwa mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi hanya memudaratkan sistem demokrasi dan mengancam keselamatan negara.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, langkah kudeta itu hanya menyerlah sikap mereka yang ketandusan isu dan terdesak untuk kembali berkuasa.
“Tindakan mereka boleh memudaratkan demokrasi berparlimen, menimbulkan keresahan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam.
“Ia hanya mewujudkan ketidakstabilan politik boleh mengancam keselamatan negara dan ia mesti digagalkan dengan kadar segera,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen gabungan itu untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.
Kenyataan yang didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti yang ditularkan di media sosial juga adalah palsu.
Fariz juga berkata, Langkah Dubai hanya mengundang kemurkaan YDPA kerana idea pembentukan Kerajaan Perpaduan datang daripada Seri Paduka sendiri.
“Baik Langkah London sebelum ini, kini Langkah Dubai atau Langkah Tebuk Atap, matlamat sama mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Tiada satu pun yang akan berjaya kerana pembangkang hanya bermimpi di siang hari.
“Semua tindakan ini satu gerakan pengkhianat untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan oleh YDPA atas permuafakatan parti-parti dalam kerajaan,” katanya.
Fariz juga mengingatkan PN agar tidak meneruskan cita-cita politik songsang dengan mengundang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hingga menimbulkan perpecahan dalam UMNO.
“Pelbagai nama pemimpin dipetik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, ia sekadar menimbulkan perpecahan di dalam UMNO itu sendiri.
“Mengapa perlu wakil rakyat UMNO berpaling tadah sedangkan mereka sudah mendapat tempat (jawatan) di dalam Kerajaan Perpaduan?
“Malah rombakan Kabinet baru-baru ini, lebih ramai pemimpin utama UMNO dibawa masuk dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.
Tambahnya, langkah pembangkang juga boleh merosakkan nama baik negara susulan siri kudeta sebelum ini melebarkan defisit keyakinan pelabur.
“Malaysia merupakan destinasi terbaik kepada pelabur asing membuat pelaburan, apatah lagi kerajaan komited untuk memastikan persekitaran mesra perniagaan untuk pelabur asing,” katanya.
Katanya lagi, ketidakstabilan politik akan memberi kesan negatif besar kepada ekonomi negara.
“Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa termasuk pelaburan asing.
“Semua pihak perlu sedar, propaganda yang dicetuskan oleh pembangkang boleh menyebabkan pelabur asing lari dan bawa pelaburan ke negara lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Orang UMNO ni bila berfikir senget dia teruk amat sangat. Telah ada pertukaran pun tapi tiada pun keselamatan negara terancam. Moralnya yang terancam hanya kepada DAP PKR PAN sahaja terkini termasuk UMNO.
Sejarah pertukaran PM sebelum ini tiada pun rusuhan atau peperangan malah Malaysia dilihat terlalu matang dan berperlembagaan oleh negara luar.