KUALA LUMPUR – Pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin secara rasminya menyertai kelab divisyen tiga Jepun, Yokohama SCC bagi musim 2024/25.
Kelab tersebut dalam satu pengumuman di media sosial miliknya berkata, anak jati Kota Bharu, Kelantan itu bakal memperkuatkan pasukan bagi saingan musim baharu secara pinjaman.
“Kami ingin memaklumkan kepada anda bahawa Luqman Hakim dari KV Kortrijk (Belgium) akan menyertai kami dalam perpindahan pinjaman,” tulis laman tersebut.
Bintang berusia 22 tahun itu sebelum ini berkelana di Eropah selama beberapa musim namun memilih untuk kembali membawa haluan ke Asia.
Sepanjang tempoh tersebut, dia hanya sempat beraksi beberapa perlawanan dan lebih banyak beraksi selaku pemain gantian.
Luqman sebelum ini memperkuat skuad kebangsaan b-23 untuk menghadapi saingan aksi persahabatan di China namun tidak dapat diturunkan akibat kecederaan. – MalaysiaGazette