Logo sistem PADU

BALIK PULAU – Pulau Pinang merekodkan 60,388 individu telah mendaftar dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat 12 tengah malam tadi.

Pengarah Perangkaan (DOSM) negeri, Khairolnizam Hassan berkata, jumlah pendaftaran itu mewakili 4.9 peratus daripada keseluruhan 1.2 juta penduduk Pulau Pinang berusia 18 tahun ke atas.

“Penduduk Pulau Pinang berjumlah 1.7 juta dan kita memerlukan 1.2 juta berusia 18 tahun ke atas dan warganegara untuk mendaftar,” katanya.

Susulan jumlah pendaftaran masih rendah, katanya, pihaknya sedang mempergiatkan usaha bagi mengalakkan penduduk negeri ini untuk berdaftar, antaranya, membuka kaunter di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negeri selain Pusat Tranformasi Bandar (UTC), pejabat daerah dan tanah pejabat DOSM.

Terdahulu, Khairolnizam ditemui selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari ke PEDi Sungai Pinang, di sini bagi meninjau kelancaran proses pendaftaran PADU.

Beliau berkata pihaknya juga telah mula mendekati komuniti dengan masuk ke kawasan perumahan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR), flat dan pangsapuri bagi menggalakkan mereka untuk mendaftar.

“Kita juga telah membuka kaunter di pejabat-pejabat Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) dan minggu lepas selain ke PPR dan flat kita juga masuk ke karnival-karnival untuk mempromosikan PADU kepada masyarakat.

“Bagi meningkatkan lagi jumlah pendaftaran mulai hujung minggu ini, kita akan masuk ke pasar raya besar dan mereka yang mempunyai masalah atau pertanyaan boleh terus ke kaunter yang dibuka di sana,” katanya.

PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Jan lepas dibuka kepada orang ramai hingga 31 Mac ini dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Sementara itu, Zairil berharap masyarakat terutama di kawasan luar bandar dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan di PEDi untuk mendaftar PADU.

“Penting untuk semua mendaftar supaya kerajaan dapat salurkan bantuan secara lebih efisien kerana semua data dalam sistem PADU ini telah diintegrasikan dengan semua jabatan,” katanya. – BERNAMA