Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR –  Anggota polis yang enggan menerima laporan daripada seorang lelaki berkenaan peras ugut empat anggota pasukan keselamatan itu daripada sebuah balai telah dikenal pasti.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan sedang dijalankan dan beliau menegaskan tidak akan bertoleransi dengan tindakan tersebut.

Beliau memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan kepada anggota yang terlibat sekiranya didapati bersalah.

Beliau menegaskan, enggan menerima laporan adalah kesalahan serius yang tidak patut dilakukan oleh anggota polis.

Ujarnya, tidak ada kelonggaran untuk anggota polis khususnya penjaga balai untuk menolak laporan yang ingin dibuat oleh mana-mana pihak atau individu.

“Beberapa kali saya ditegaskan, keengganan mengambil laporan adalah salah laku yang amat serius. Saya selalu nyatakan kalau orang datang ke balai laporan apa sekalipun perlu diterima.

“Saya nak ingatkan semua Ibu Pejabat Daerah (IPD) dan balai di KL ini, hentikan tindakan yang tidak masuk akal ini. Tidak ada situasi pun untuk anda enggan tidak terima laporan,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Jelas beliau, mana-mana laporan polis  akan diklasifikasikan mengikut peruntukan undang-undang sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Tanggungjawab penjaga balai untuk klasifikasikan laporan tapi tetapi perlu diterima, ia akan dikelaskan mengikut undang-indang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan seorang lelaki, Danny Goh yang mendakwa IPD Sentul enggan menerima laporan polisnya berkenaan ugutan empat anggota beruniform balai berkenaan.

Beliau pada 23 Disember dilaporkan diugut supaya memberikan keempat-empat anggota itu RM10,000 sebagai balasan terlepas tindakan pendakwaan mahkamah akibat dituduh terlibat dengan perjudian haram.

Menurutnya, selepas itu kesemua anggota polis itu mengembalikan wangnya selepas mendapat tahu Danny telah menghubung IPD Sentul.

Meskipun telah berjaya mendapatkan wangnya semula beliau nekad untuk membuat laporan polis namun berkata tidak diterima oleh anggota di balai itu.

Mengulas lanjut Allaudeen berkata, anggota yang meremehkan niat mana-mana individu atau pihak yang ingin membuat laporan polis boleh dikenakan tindakan tata tertib, dipindahkan ke balai lain atau dibuang kerja.

Bagaimanapun tambah beliau, siasatan perlu dijalankan untuk berlaku adil kepada semua pihak.

“Kalau melibatkan kepentingan awam kita tukarkan anggota, kedua kita kena jalankan siasatan kita kena beri ruang, kita kena adil.

“Kalau perlu kita tahan kerja kita lakukan. Selepas selesai siasatan kita putuskan kalau perlu tuduh atau kita tindakan tata tertib atau buang kerja,” katanya. – MalaysiaGazette