SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memastikan tiada lagi kes penyelewengan berlaku dalam institusi agama, apatah lagi melibatkan sumbangan orang dan zakat.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak boleh menerima tindakan pegawai mahupun kakitangannya yang tidak berintegriti dalam pengurusan dana umat Islam.
“Betapa pentingnya semua agensi di bawah MAIS supaya sentiasa mempunyai integriti diri yang tinggi kerana institusi agama ini banyak menerima sumbangan daripada orang ramai.
“Kadang kala sumbangan itu berbentuk tunai. Kalau kita tidak amanah, lemah pertimbangan, wang itu mungkin digunakan sama ada sepenuh atau sebahagian untuk kepentingan diri.
“Walaupun satu sen duit MAIS, sama ada sedekah, zakat, wakaf atau sumbangan lain kepada anak yatim atau bencana alam, kita akaunkan dengan betul dan tidak diselewengkan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perutusan Pengerusi MAIS Bagi Tahun 2024 dan Pelancaran Pelan Anti Rasuah MAIS di Dewan Syarahan dan Muzakarah lslam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mendedahkan sepasang suami isteri menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.
Pasangan yang berusia 50 dan 53 tahun itu berperanan sebagai ejen kutipan zakat secara dalam talian untuk Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan kakitangan MAIS jika terlibat dengan jenayah itu.
“Kes (seleweng) Selangor tidaklah banyak, sekarang ini kita tak mahu benda itu berulang lagi, kita ambil tindakan sesiapa yang terlibat.
“Kita memberi ingatan supaya perbuatan seperti itu jangan sesekali dibuat dalam institusi agama seperti MAIS ini.
“(Kes) yang berlaku baru-baru ini Lembaga Zakat Selangor (LZS), tidaklah banyak, tapi kita sudah ambil tindakan susulan dan laporan polis supaya perkara itu tidak berulang lagi,” katanya.
Susulan kes penyelewengan itu, beliau memberi jaminan MAIS akan menguruskan sumbangan orang ramai dan zakat dengan sebaik mungkin.
“Kutipan zakat ini paling tinggi ialah di Selangor, jadi kita mesti memberi keyakinan kepada penyumbang-penyumbang zakat bahawa wang zakat mereka diuruskan dengan sebaiknya.
“Kita nak pastikan tiada penyelewengan walaupun satu sen, kita sedar ia duit zakat, kita kena pulangkan balik,” katanya. – MalaysiaGazette