Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menolak tawaran pengantaraan AirAsia dalam satu surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu. 

SEPANG – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memeterai perjanjian dengan Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn. Bhd. (Alstom) bagi menyambung semula pelaksanaan projek penggantian Penggerak Penumpang Automatik (APM) atau aerotrain di KLIA.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohamed Rastam Shahrom berkata, perjanjian tersebut juga melibatkan sebuah usaha sama yang terdiri daripada IJM Construction Sdn. Bhd. dan Pestech Technology Sdn. Bhd. (IJMC-Pestech JV).

“Dalam perjanjian ini, Alstom yang merupakan pengeluar peralatan asal (OEM) bagi aerotrain baharu, akan bertindak sebagai peneraju penyelarasan projek.

“Ia juga bertanggungjawab ke atas kerja-kerja penyelarasan untuk memulakan semula projek ini dan menghantar tiga tren baharu serta dua landasan baharu menjelang tahun 2025.

“Keputusan untuk menerima tiga tren dan menyiapkan kedua-dua landasan secara serentak membolehkan pelaksaaan kerja-kerja penggantian disiapkan dalam tempoh masa yang dirancang pada awalnya.

“Kami berharap kontraktor dapat menyiapkan projek ini menjelang suku pertama tahun 2025, untuk keselesaan dan kemudahan penumpang kami di KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tumpuan utama pihaknya adalah untuk mengekalkan teknologi yang sesuai dalam pembinaan aerotrain sekali gus memastikan projek menepati garis masa asal untuk operasi kedua-dua landasan.

Tambah beliau, penglibatan Alstom sebagai Peneraju Penyelarasan Projek turut memberi keyakinan kepada pelaksanaan projek tersebut, memandangkan rekod prestasi syarikatnya yang cemerlang dalam projek-projek yang serupa.

Katanya, kontrak baharu dengan Alstom itu tidak melibatkan operasi dan penyelenggaraan serta dijangka peningkatan kos yang akan dihadkan pada 15 peratus menjadikan kos projek sebanyak RM456.1 juta.

Rastam Shahrom berkata, peningkatan itu disebabkan oleh kos pegangan faedah, pertimbangan pertukaran asing, perbelanjaan mobilisasi semula serta yuran penyelarasan projek kepada Alstom.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Kluster Singapura & Malaysia Alstom, Yann Maixandeau berkata, pihaknya gembira untuk menyambung semula kerja projek nasional yang penting itu dengan kerjasama Malaysia Airports dan IJMC-Pestech JV.

“Pasukan kami komited untuk mengatasi cabaran, memastikan penghantaran pada masa yang tepat serta menambahbaik pengalaman perjalanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast