Tan Leuk Ley dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan terhadap tiga buah motosikal pada November lalu.

GEORGE TOWN – Bekas kerani Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang tular memandu secara berbahaya sebelum melanggar tiga motosikal di Jalan Bukit Gambir, dekat sini, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tan Leuk Ley, 76, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, wanita warga emas itu didakwa telah memandu kereta jenis Perodua Myvi di atas jalan raya dengan kelajuan berbahaya menyebabkan kemalangan terhadap lima individu yang terdiri daripada tiga penunggang serta dua pembonceng motosikal.

Tertuduh tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 15 hingga 40 tahun.

Pesara kerajaan itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu pada 27 November lalu jam 2.15 petang di Jalan Bukit Gambir, di sini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Dev Kumarendran.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan.

Ketika prosiding Nurul Atikah memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Dev Kumarendran merayu agar jaminan dikurangkan atas faktor anak guamnya menghidap Kolesteatoma iaitu ketumbuhan pada telinga sejak 2002 selain telinga kanannya tidak dapat mendengar.

“Anak guam saya sudah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali disebabkan ketumbuhan telinga dan sehingga kini masih menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang serta sebuah hospital swasta.

“Malah, dia juga dijaga oleh tiga anak perempuannya susulan kematian suami sejak 10 tahun lalu selain hanya menerima pencen bulan RM1,800. Sehubungan itu, saya mohon mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan terhadapnya,” kata Dev Kumarendran.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu atau mendekati kesemua mangsa serta saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan pada 3 Mac depan untuk serahan dokumen termasuk laporan perubatan mangsa kemalangan.

ARTIKEL BERKAITAN

Gara-gara panik, warga emas rempuh enam kenderaan di lampu isyarat

Media sebelum ini melaporkan lima individu cedera akibat dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi dipandu wanita warga emas di Jalan Bukit Gambir berdekatan pintu keluar Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Kejadian jam 3 petang itu membabitkan empat kereta termasuk milik wanita itu dan tiga motosikal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu wanita itu panik selepas bergesel dengan sebuah motosikal sebelum memecut laju keretanya menyebabkan hilang kawalan sebelum melanggar tiga buah motosikal dan tiga buah kereta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. mangsa di rempuh kereta api. bukan kereta.
    ayat ini menunjukkan kenderaan yg berada di atas landasan besi.
    ini diatas jalan raya. bahasa yang mengeliruksn

Comments are closed.