LONDON – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini menekankan tentang pentingnya bersiap sedia dalan menghadapi pandemik seterusnya yang mungkin berlaku.
Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, persoalan adalah bila pandemik seterusnya akan berlaku dan bukannya wujud pandemik seterusnya.
“Penyakit X adalah istilah digunakan kali pertama pada tahun 2018 oleh WHO untuk merujuk kepada penyakit yang tidak diketahui.
“Kita tidak sepatutnya menghadapi pendemik tanpa persediaan dan kita juga boleh bersedia awal untuk hadapi beberapa penyakit yang tidak diketahui, namun ia berpotensi menyebabkan wabak.
“Sehubungan dengan itu, WHO mengharapkan agar semua negara akan mewujudkan satu perjanjian pandemik menjelang Mei tahun ini untuk menangani musuh bersama ini,” katanya pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
Tambah beliau, perjanjian pandemik tersebut mampu menyatukan semua pengalaman, cabaran dan penyelesaian bagi membantu semua negara bersedia menghadapi pandemik seterusnya dengan lebih efektif.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur kesihatan dan tenaga kerja untuk mengatasi ancaman itu dalam perbincangan panel yang bertajuk ‘Persediaan untuk Penyakit X’.
Katanya, kesihatan primer adalah kritikal dan penting dalam persediaan menghadapi penularan wabak seperti Covid-19, sebelum ini.
“Malahan, masyarakat juga boleh bersedia menghadapi Penyakit X. Sektor kesihatan awam, pendidikan dan komunikasi sepatutnya merupakan tumpuan utama dalam persediaan ini.
“Ini disebabkan, kita berdepan dengan musuh bersama dan tanpa kerjasama dari persediaan awal, kita mungkin berhadapan dengan masalah serupa seperti yang berlaku semasa pandemik Covid,” ujarnya. – Agensi