portfolio aminuddin harun
Aminuddin Harun

SEREMBAN – Hasil tindakan pantas pihak berkuasa, aliran cecair berwarna hitam dipercayai minyak enjin yang berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Linggi berjaya dikesan dan dihalang daripada terus memasuki Sungai Linggi .

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, loji tersebut masih beroperasi pada kapasiti 100 peratus.

“Proses persampelan air telah dibuat oleh agensi kerajaan yang berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan perundangan.

“Kes ini sedang dalam siasatan oleh agensi-agensi kerajaan terbabit di bawah kesalahan pencemaran sumber air,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau memberitahu, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) telah menerima aduan berhubung pencemaran Sungai Linggi yang dikesan berpunca daripada longkang awam di kawasan Kampung Bemban Hilir di sini pada pukul 1.48 petang semalam.

Aminuddin menambah, berikutan aduan itu, JASNS bersama BKSANS, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menggerakkan pasukan untuk membuat pengesanan dan mengenal pasti punca.

“Kerajaan negeri amat komited dalam membanteras kes-kes berkaitan dengan pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil kepada pelaku-pelaku yang tidak bertanggungjawab hingga memberi implikasi terhadap pembekalan air terawat untuk rakyat Negeri Sembilan khususnya.

“Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada orang awam yang telah membuat aduan dan Kerajaan Negeri sangat menggalakkan orang awam untuk menjadi mata dan telinga kerajaan negeri sekiranya terlihat kejadian seumpama ini berlaku pada masa hadapan,” jelasnya.

Menurut beliau, orang awam boleh terus menghubungi JAS Negeri Sembilan menerusi talian hotline 1-800-88-2727 atau BKSANS atau talian kecemasan sambungan kepada PDRM untuk tindakan pengawalan dan pencegahan demi kelestarian sumber air di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast